JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) melarang wakil rakyat, Ahli Dewan Negara dan individu yang memegang jawatan dalam parti politik mengambil bahagian aktiviti mengajar atau bersyadah di masjid dan surau berdaftar di negeri itu.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya serta individu yang sudah bersara sebagai Ahli Dewan Negara dan wakil rakyat namun masih aktif dalam kegiatan politik, juga termasuk dalam kategori mereka yang dilarang berbuat demikian.
Katanya, ia selaras dengan ketetapan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menerusi pekeliling berhubung garis panduan bertarikh 6 Mac 2023 yang diedarkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Perak.
“Larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk terpakai kepada individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.
“Larangan turut terpakai kepada ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan Dewan Undangan Negeri (Adun) mana-mana negeri, mereka yang punyai jawatan dari mana-mana parti politik, calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil, serta individu sudah bersara sebagai Ahli Dewan atau wakil rakyat namun masih aktif dalam kegiatan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa Kariah Masjid dan Kariah Surau dikehendaki sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah agar ia selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu serta pemupukan perpaduan masyarakat.
Terdahulu, media melaporkan keputusan sama ada menarik balik tauliah mengajar agama kepada semua wakil rakyat di Perak atau sebaliknya akan dibincangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 26 Januari 2023.
Minggu lalu, Terengganu mengenakan larangan sama kepada semua ahli politik termasuk Adun dan Ahli Dewan Negara di masjid serta surau di negeri itu.
Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan bertindak sebagai Khatib dan Imam solat Jumaat di masjid-masjid.