KHAIRY Jamaluddin menerusi program Podcast, ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskannya semalam memilih Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai ‘most valuable politician’ (MVP) bagi minggu ini.
Menteri Besar Kedah itu menjadi ahli politik pertama dipilih sebagai MVP menerusi program tersebut yang mula bersiaran kira-kira dua bulan lalu.
Menurut Khairy, menerusi program tersebut yang dihoskan bersama bekas Ketua Penerangan Umno yang dipecat Shahril Hamdan, mereka akan memilih seorang ahli politik untuk diangkat sebagai MVP.
Jelas bekas Menteri Kesihatan itu, pemilihan MVP bergantung dari segi nilai berita seseorang ahli politik, tidak kira sama ada individu tersebut melakukan sesuatu perkara yang bagus atau sebaliknya.
“Jadi kalau dia hebat, layak untuk MVP… dan kalau dia bangang pun boleh dipilih MVP,” katanya.
Mengulas pemilihan Muhammad Sanusi, Khairy berkata Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bukanlah seorang ahli politik yang begitu popular sebelum ini.
“Dia ini taklah famous sangat, taklah national level… tapi oleh kerana obsession penyokong PH terhadapnya, dia telah jadi satu figura lebih besar, lebih dahsyat dan lebih hebat
“Daripada seorang state level leader, dia telah jadi tumpuan dalam kalangan penyokong PH, ini salah PH, awak yang cipta Sanusi (jadi popular),” kata Khairy lagi.
Pemilihan Muhammad Sanusi sebagai MVP turut dipersetujui Shahril.
Untuk rekod, Muhammad Sanusi menjadi ‘bahan kecaman’ penyokong PH antara lain disebabkan keceluparan beliau terhadap pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Ini termasuk dakwaan dilarang hadir ke program rasmi kerajaan Persekutuan selain kenyataan sinis beliau berhubung isu semasa. MP