• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Konflik PH bakal timbulkan masalah di PRN Sarawak

Nov 29, 2021 ,
Spread the love

Kemelut dalaman Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi masalah kepada blok pembangkang itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan boleh merebak ke pilihan raya umum akan datang (PRU15) jika tidak dikawal, penganalisis memberi amaran.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, perbalahan mengenai peruntukan kerusi baru-baru ini menunjukkan bahawa terdapat masalah dalam PH, terutamanya di Sarawak.

“Di Miri, sebagai contoh, saya rasa kedua-dua PKR dan DAP mahu bertanding dan ini boleh menjelaskan mengapa parti-parti dalam PH merancang untuk menggunakan logo mereka sendiri (bukan PH).

“Sepertinya terdapat pergeseran selepas PRN Melaka dan saya rasa ia mungkin akan dilihat di Sarawak yang akan menjejaskan gambaran besar, iaitu PRU15 ,” katanya.

Beliau berkata, parti-parti pembangkang perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka bagi mencabar gabungan GPS di Sarawak kerana Barisan Nasional (BN) mungkin memberi persaingan yang sama sengitnya di peringkat persekutuan.

Minggu ini, PKR Sarawak menuduh DAP negeri tidak memberi kerjasama dalam rundingan kerusi untuk PRN akan datang. DAP sudah pun mengumumkan calon bagi 18 daripada 26 kawasan yang akan ditandinginya.

DAP menafikan tuduhan PKR dengan berkata, parti itu harus memberi tumpuan kepada usaha memenangi 47 kerusi yang diperuntukkan, bukan menuntut lebih banyak kerusi.

Azmi berkata, parti berkenaan perlu mula mencapai persetujuan, “tetapi nampaknya terdapat perbezaan besar dalam PH”.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, konflik dalaman hanya menjejaskan semua parti dan prospek pilihan raya mereka apabila konflik itu merebak.

“PKR Sarawak pada dasarnya telah terbantut selepas Baru Bian dan Larry Sng (yang kedua-duanya sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi parti negeri) meninggalkannya, namun ia masih mahu terus maju dan bertanding di banyak kerusi walaupun perlu bertembung dengan DAP. ”

Katanya, PKR masih belum membuktikan ia boleh memenangi mana-mana kerusi sama sekali, dengan tiada langsung wakil dalam DUN Sarawak ketika pembubarannya, berikutan tindakan tiga ADUN mereka meninggalkan parti tahun lepas.

“DAP juga nampaknya terjerat dalam perselisihan faham yang terbongkar. Bagaimanapun DAP, walaupun pada tahap terendah, mungkin masih dapat mengekalkan sokongan besar di kerusi kawasan bandar,” tambahnya.