• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kontroversi Skim Insuran Selangor, ini yang perlu kita tahu

Aug 24, 2023
Spread the love

Skim insurans yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat di Selangor kini bertukar menjadi satu kontroversi kebocoran data peribadi besar-besaran yang dibuat tanpa kebenaran.

Pada mulanya isu skim insurans itu dimainkan oleh tentera siber kerajaan campuran yang bertujuan untuk memalukan pempengaruh di sebelah Perikatan Nasional (PN), ia bagaimanapun bertukar kepada pembongkaran skandal yang mengejutkan orang ramai khususnya di Selangor.

Ramai mempersoalkan bagaimana butiran peribadi mereka termasuk nombor kad pengenalan dan alamat rumah digunakan tanpa persetujuan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang data peribadi.

Pendedahan itu dibuat oleh sekumpulan pempengaruh media sosial yang lantang terhadap Pakatan Harapan (PH) lewat petang semalam.

Beberapa tangkap layar menunjukkan mereka sebagai pemegang polisi Skim Insurans Hayat Selangor (Insan) dikongsi dalam talian bagi menunjukkan bahawa mereka mendapat manfaat daripada skim insurans percuma kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tindakan itu sebaliknya memakan diri apabila beberapa pempengaruh media sosial berkenaan berkata tidak pernah mendaftar untuk skim itu, apatah lagi memberikan butiran peribadi mereka.

Keadaan panik itu tidak lama kemudian tersebar di media sosial mengenai bagaimana butiran peribadi mereka boleh digunakan, dengan ramai cuba menyemak sama ada mereka juga disenaraikan dalam skim Insan menggunakan laman sesawang insurans tersebut di www.programinsan.com.

Semalam, laman sesawang berkenaan tidak dapat diakses dipercayai disebabkan oleh peningkatan jumlah trafik pelayar internet.

Ketika berita ini ditulis, laman sesawang itu digantung secara misteri, membawa kepada lebih banyak persoalan.

Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengakui data peribadi penduduk Selangor diambil daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, mengatakan ia digunakan untuk mendaftarkan mereka ke dalam skim itu.

Amirudin cuba meredakan kebimbangan mengenai kebocoran data itu, mengatakan pendaftaran tersebut adalah bersifat “prapendaftaran” di mana individu perlu mengaktifkan polisi insurans berkenaan.

Bagaimanapun, semakan di laman sesawang itu menimbulkan keraguan terhadap dakwaannya, kerana ramai yang mendapati polisi mereka sudah pun diaktifkan, malah ada yang akan tamat tempoh.

“Saya ada empat orang anak pengundi muda di Selangor. Saya semak semalam nama mereka ada didaftarkan.

“Ada tarikh mula dan tarikh tamat tempoh. Ia sudah ada polisi. Bukan pra-pendaftaran,” kata seorang aktivis Dr Rafidah Hanim Mokhtar di Facebooknya, antara ramai pengguna media sosial yang menyatakan rasa terkejut apabila butiran seperti alamat dan nombor kad pengenalan tercatat pada sijil insurans tanpa mendapat persetujuan mereka.

Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang disenaraikan sebagai pemegang polisi induk untuk skim Insan berkenaan berada di belakang kontroversi itu.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM) menunjukkan bahawa 51% saham syarikat itu dimiliki oleh CT Frank Technology (M) Sdn Bhd, manakala 49% oleh Selangor E-Wallet Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan negeri.

Ini membawa kepada persoalan tentang bagaimana data peribadi boleh dipindahkan kepada entiti bukan kerajaan, yang melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi.

Lebih mengejutkan ialah antara aktiviti utama syarikat tersebut adalah “pemberian pinjaman”.

Entri SSM juga menyatakan “aktiviti perkhidmatan kewangan lain kecuali insurans/takaful dan pembiayaan pencen”.

Pemeriksaan lanjut terhadap CT Frank Technology mendedahkan rangkaian pemilikan dengan alamat di Pulau Pinang.

Syarikat itu majoritinya dimiliki oleh Dynamic Frank Sdn Bhd, serta Tan Siew Ming dan Tan Chun Aik.

Sementara itu, Dynamic Frank pula majoritinya dimiliki oleh Global Frank Sdn Bhd serta seorang lagi individu bernama Tan Cheai Peng yang beralamat di Pulau Pinang.

Global Frank pula, juga beralamat Pulau Pinang, dimiliki oleh empat pemegang saham individu lain, tiga daripadanya dari Pulau Pinang dan seorang dari Perak.

Wavpay Fintech Holding dikaitkan dengan WavPay System Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam satu lagi perjanjian bermasalah dengan kerajaan negeri untuk membangunkan aplikasi e-wallet.

Tahun lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Hilman Idham menggesa kerajaan Selangor menjelaskan pelaburan RM10 juta ke dalam WavPay System walaupun syarikat itu berdepan kerugian terkumpul sebanyak RM4.7 juta.

“Di manakah justifikasi pelaburan yang munasabah untuk kerajaan negeri menyuntik RM10 juta kepada syarikat yang tidak mempunyai aset malah tidak mempunyai pendapatan?” soalnya semasa perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 29 Julai 2022.