Kempen ‘Koyak Israel, Israel Koyak’ yang digerak rakyat Malaysia dianggap berjaya membuat kejutan besar sehingga menjatuhkan moral pengganas Zionis.
Wakil Malaysia The Palestinian Association For Development & Benevolent Works Nazri Deraman berkata, kempen menerusi pelbagai medium internet dengan perkataan ‘koyak’ turut digunakan seluruh dunia.
Katanya, tekanan itu harus diteruskan supaya pihak pengganas zionis tidak lagi angkuh menzalimi penduduk di Palestin.Advertisement
“Pagi Jumaat lepas seluruh dunia bergembira dengan berita gencatan senjata di antara pihak mujahidin dan pengganas zionis.
“Ketika itu pihak pengganas zionis tunduk dengan tuntutan mujahidin untuk tidak lagi mengganggu Masjid Al-Aqsa. Selain itu membuka kepungan dan tidak mengganggu penempatan penduduk Palestin di Syeikh Jarrah,” katanya di sini.
Pada jam 2 pagi Jumaat lepas zionis Israel mengumumkan gencatan senjata seketika selepas berdepan dengan serangan roket yang dilancar pejuang Hamas dan kumpulan jihad lain.
Bagaimanapun tentera zionis Israel mengganggu umat Islam di Palestin yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid al Aqsa, tidak sampai sehari selepas gencatan senjata diumumkan.
Nazri juga berkata, pengganas zionis ternyata gagal melemahkan semangat rakyat Palestin berikutan kejayaan besar operasi mempertahankan maruah umat Islam oleh pejuang Hamas dan lain-lain praksi ketenteraan.
“Malahan sokongan seluruh rakyat Palestin tidak berbalah bahagi kepada perjuang Palestin disusuli pelbagai demontrasi mengecam kekejaman pengganas zionis.
“Di samping itu kita boleh lihat solidariti untuk Palestin berlaku di seluruh dunia yang memberi kemenangan di pihak Palestin,” katanya.
Menurutnya juga perang untuk mempertahankan maruah umat Islam dan kesucian al Aqsa amat berjaya.
Kata beliau kekebalan sistem pertahanan paling canggih, ‘iron dome’ berjaya dikoyak oleh roket-roket Briged Izzuddin Al Qassam yang dilancar beratus kilometer ke bumi yang dijajah rejim Zionis.
Beliau juga berharap sokongan dan iltizam dari seluruh umat Islam untuk terus membantu rakyat Palestin melalui agensi kerajaan, NGO dan parti politik yang berusaha menyalur bantuan terus ke Gaza. – HARAKAHDAILY