• Sun. Oct 1st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

KWSP: Perjuangan rakyat jangan dipandang sebelah mata, Hamzah ingatkan Anwar

Mar 31, 2023
Spread the love

Setiausaha Agong Bersatu, Datuk Seri Hanzah Zainudin berkata beliau benar-benar tersentuh dan sedih dengan kisah saudara Noorazlan Ismail, yang sanggup berjalan kaki sejauh 312 km dari Tol Skudai di Johor menuju ke Istana Negara, bagi memperjuangkan haknya untuk mengeluarkan simpanan KWSP.

Menurutnya, selepas membaca kisah Noorazlan ini, beliau faham benar isi hatinya. Bapa kepada lima anak yang masih bersekolah ini benar-benar terdesak dan sedang dalam kesusahan.

Beliau berkata, bagi Noorazlan pengeluaran simpanan KWSP adalah kunci untuk dia keluar dari belenggu hutang dan seterusnya memulakan kehidupan baru bersama keluarga.

“Saya tahu ramai rakyat di luar sana yang terdesak dan amat-amat memerlukan pengeluaran simpanan KWSP. Mereka juga dalam kesusahan dan kepayahan sepertimana Noorazlan ini,” katanya menerusi kiriman di facebooknya sebentar tadi.

Katanya, sebab itu pengeluaran KWSP bersasar menjadi agenda perjuangan Perikatan Nasional.

“Kami angkat denyut nadi dan suara hati rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan KWSP ditunaikan kerajaan, tetapi sayangnya dibalas sinis PM Ke-10.

“Perjuangan rakyat jangan dipandang sebelah mata. Dengarlah rintihan rakyat yang berjalan kaki ratusan kilometer ini.

“Rakyat mahukan pemimpin yang boleh membela mereka, bukan pemimpin yang berlakon saban masa,” katanya.