• Mon. Apr 28th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lambang PRN Melaka: Majlis Syura Ulama serah kepada PAS Pusat

Spread the love

PETALING JAYA: Majlis Syura Ulama yang bersidang hari ini menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memutuskan penggunaan lambang parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan malam ini memaklumkan ketetapan itu dibuat bagi membolehkan jawatankuasa berkenaan membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan, selaras dengan Fasal 84, Perlembagaan PAS.

“Majlis Syura Ulama telah membincangkan penggunaan lambang dalam PRN Melaka dari sudut Siyaasah Syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada PH (Pakatan Harapan).

“Majlis Syura Ulama melihat aspek ini dalam kerangka perkara-perkara ‘mutaghyyirat’ (boleh berubah) dan bukannya perkara ‘thawabit” (yang tetap). Ia perlu disesuaikan dengan taktikal dan strategi parti. Justeru, Majlis Syura Ulama menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84,” katanya, menurut laporan Bernama.

Selain itu, beliau berkata majlis juga turut meluluskan kelayakan calon bagi PRN Melaka untuk tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan Fasal 26 (9)(f) perlembagaan parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov, penamaan calon pada 8 Nov manakala undi awal pada 16 Nov ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali. (FMT)