Sungai Melaka di Padang Matsirat, Langkawi menunjukkan bacaan melebihi tahap bahaya apabila mencatat paras 3.98 meter (m), berbanding 2.90m paras normal.
Keadaan itu berlaku disebabkan hujan yang masih berlaku, yang turut menyebabkan beberapa kawasan di Langkawi, termasuk pusat pelancongan dinaiki air.
Beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku.
Antara kawasan yang terjejas dengan banjir kilat di pulau peranginan itu ialah Kampung Kilim, Kampung Teluk Yu dan Kampung Telaga Ayer Hangat di Ayer Hangat; Kampung Belanga Pecah di Kuah; Bukit Kemboja dan Sungai Melaka di Padang Matsirat; dan Empangan Padang Saga di Ulu Melaka.
Beberapa kampung lain turut dinaiki air hari ini, termasuk Kampung Padang Lalang dan Kampung Pasir Hitam.
Bagaimanapun, di sesetengah tempat, banjir kilat mulai surat. Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.
Paras air sungai sama di stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Bukit Kemboja pula mencatat tahap amaran dengan bacaan 8.35m, berbanding paras normal 6.00m.
Sementara itu, 44 pengunjung pusat peranginan Telaga Tujuh di Langkawi yang terperangkap akibat kepala air pagi tadi telah diselamatkan kira-kira jam 2.30 petang tadi, kata bomba