Dalam kita memperhalusi setiap jejak Ramadan yang baru sahaja bermula ini, barang diingat agar seluruh rakyat khususnya di Selangor terus berperanan dalam menjaga isu-isu sensitif yang melibatkan agama.
Maka, titah DYMM Sultan Selangor mengenai larangan ke atas umat Islam untuk melawat rumah rumah ibadat bukan Islam seperti Kuil, Gereja dan Gurdwara bagi maksud mempelajari kepercayaan agama lain.
Dewan Pemuda PAS Selangor juga melihat isu yang cuba dimain dan dipanaskan melibatkan Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Yang Berhormat Kawasan Kuala Langat Dato’ Dr Yunus Hairi mengenai kononnya MP Kuala Langat ini melarang pembinaan kuil adalah amat dikesalkan.
Ia sebenarnya adalah menepati garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pihak Perancang Bandar di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perancangan Negeri dan di Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.
Asasnya isu sensitif sebegini apabila sudah diputuskan oleh DYMM Sultan Selangor, sewajarnya kita ambil jalan yang terbaik iaitu akur dan menerima dengan tenang.
Amaran keras juga diberikan kepada mana-mana pihak termasuk NGO Impact di bawah Kementerian Belia & Sukan agar tidak sesekali bermain api mencuba untuk menghasut hadir ke mana-mana rumah agama kerana ia merupakan larangan yang telah dikeluarkan oleh pihak Tuanku DYMM Sultan Selangor.
Dalam kelembutan kita hidup harmoni sebagai masyarakat majmuk memahami silang budaya dan agama, pendirian tegas dan tuntas sebagai umat Islam wajib diteruskan agar saling hormat-menghormati terbina bagi kedua-dua pihak.
Justeru itu, semua pihak tidak kira mana-mana pihak wajar menyambut baik seruan dan titah DYMM Sultan Selangor agar menjadi panduan kita dalam urusan melibatkan agama di Selangor Darul Ehsan ini.
Dewan Pemuda PAS Selangor
27 Mac 2023