• Tue. Sep 10th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lebih 1,000 sertai solat hajat anjuran PN Terengganu

Mar 10, 2023
Spread the love

MARANG: Lebih 1,000 jemaah menyertai program solat hajat yang diadakan oleh Perikatan Nasional (PN) Terengganu untuk keselamatan negara dan solidariti menentang kezaliman.

Solat hajat diadakan di Masjid Rusila di sini, itu dipimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Jemaah yang hadir turut membaca surah Yasin disusuli solat hajat.

Terdahulu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai memberi keterangan selepas lebih lapan jam memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ahli Parlimen Pagoh itu dalam sidang medianya sejurus keluar dari Ibu Pejabat SPRM, memaklumkan akan berdepan tujuh pertuduhan esok.

Beliau berkata, pendakwaan terpilih terhadapnya adalah satu tindakan politik yang berniat jahat semata-mata mahu melumpuhkan BERSATU dan PN.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru penyokong PN mengadakan solat hajat malam ini bagi mendoakan kebaikan untuk Muhyiddin.

Katanya, solat hajat itu adalah sebagai solidariti menentang kezaliman dan mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan keselamatan buat negara.

“Insya-Allah malam ini diadakan solat hajat di Pusat Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar.

“Penyokong PAS dan PN di seluruh negara turut diseru untuk bersama-sama solat hajat dan bermunajat di tempat masing-masing,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.