• Sun. Feb 9th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lebih 10,000 rakyat Kelantan hadir Himpunan Ribuan Rakyat

Oct 22, 2022
Spread the love

Himpunkan Ribuan Rakyat : Karnival Usahawan Sempena Sambutan 32 Tahun MBI Melabuhkan Tirai Hari Ini

Syukur pada Allah SWT sambutan ulangtahun ke 32 Kerajaan Islam Kelantan (Membangun Bersama Islam, MBI) telah dijayakan yang mana penganjuran karnival dan pameran bermula sejak 19hb Rabu dan berakhir hari ini 22hb Oktober 2022, Sabtu.

Bermula dengan Dikir Barat Mega yang mengumpulkan ramai artis artis dikir barat lokal serta menampilkan dua kumpulan yang masyhur iaitu Kumpulan Budi Jati serta Anak Tani. Biarpun berdikir dalam hujan lebat, namun peminat peminat seni ini memenuhi setiap ruang di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV. Tahniah anak anak seni semua. YB Dato’ Mejar senyum lebar menyantuni artis artis termisohor Kelantan malam itu.

Khamisnya berkumpul pula peminat dan penggiat permotoran Kelantan. 320 buah motorsikal pelbagai jenis mewakili puluhan kelab berhimpun di Tunjung seterusnya berarak masuk ke dataran stadium. Manakala di sebelah sisi lain stadium, berkumpulnya 40 lebih kelab kelab kereta serta “lori jangok” dalam negeri Kelantan (hampir 300 buah kereta) yang membawa anak isteri. Semuanya menyumbang kepada kemeriahan rakyat dalam sama sama berprogram dan menyambut ulangtahun ke 32 MBI. Terima Kasih Long Azliey dan Dato’ Azhar VKB yang membantu menjayakan himpunan permotoran hari itu.

Jumaat pula menonjolkan sisi minat rakyat ini dalam menadah ilmu agama dalam kalangan rakyat Kelantan dengan Kuliah Medan Ilmu yang berlangsung di sini. Kemudian bersambung dengan Fun Run serta Pentas Muslimat yang mengumpulkan remaja serta wanita wanita Kelantan yang mencintai negeri ini sepenuh hati.

Sebelah petangnya berlangsung konsert UNIC dan Inteam. Muslimah dan remaja wanita yang meminati kumpulan ini bersimpuh menghayati bait bait nashid. Para pemuda berhimpun sejak tengahari hingga ke waktu maghrib. Belia Kelantan teguh taat setia menongkah arus mempertahankan setiap sendi dalam pentadbiran MBI.

Kemuncaknya pada sebelah malam, berlangsung Himpunan Penyatuan Ummah yang memperlihatkan dataran stadium dipenuhi rakyat segenap lapisan yang mahu melihat ummah ini terus kuat dan bersatu hati. Ucapan YB Dato’ Amar, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, YAB Menteri Besar Kelantan, YB Tan Sri Muhyidin dan disimpul mati fikrah dan jiwa kita semua oleh Tuan Guru Presiden PAS. Tahniah semua.

Sabtu pagi selepas subuh, dengan hujan lebat, rakyat berhimpun untuk program Fun Ride 32 kilometer sempena 32 Tahun MBI. 320 orang rider berbaju hijau kemas berbasikal sambil diiringi oleh rakan rakan anggota PDRM yang “sporting morting”. Masing masing “ggateh sikal” dalam kehujanan tetapi tetap ceria dan happy. Manakala di pentas utama diraikan para pengantin baharu dengan keluarga masing masing dalam Majlis Raikan Cinta oleh UBES serta diserikan dengan ucapan YB Ust Wan Roslan.

Di hujung khemah karnival berlangsung pertandingan ESport Kelantan sempena sambutan 32T MBI. 32 pasukan dipilih untuk merancakkan perlawanan dengan kehadiran lebih 400 orang belia dan remaja. Ia tambah menarik apabila pertandingan ESport ini mendapat perhatian MoonTon Tech dari Shanghai yang menghantar wakil pemasaran mereka bagi rantau Asia untuk memeriahkan lagi pertandingan. Ini semua menambah rencah kegembiraan dan mengisi kehendak “nok ko suasano” oleh para remaja negeri ini. Tahniah semua.

Tidak dilupakan kepada Koperasi Ladang Rakyat yang menganjurkan Jualan Keluarga Malaysia selama tiga hari dengan menawarkan barang barang dapur pada harga yang amat murah dan berbaloi.

Sekalung terima kasih juga kepada pihak PDRM yang menghulur tangan membantu setiap jam yang berlalu sepanjang 4 hari penganjuran ini. Benarlah kata kata bahawa “Polis dan Masyarakat berpisah tiada”. Pihak RELA serta Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan yang turut menyingsing lengan menjaga keamanan rakyat jelata. Juga kerjasama erat MPKB, PKINK, PMBK, MDB serta rakan rakan strategik yang lain.

Turut sama adalah hampir 30 agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang membuka gerai pameran serta perkhidmatan pelbagai bermula 19 hingga 22hb di Dataran Stadium. Terima kasih tidak terhingga diucapkan.

Apa pun Karnival dan Pameran sempena Sambutan Ulangtahun ke-32 Tahun Kerajaan Islam Negeri Kelantan telah berakhir hari ini. Bermula 21 Oktober 1990, Almarhum Tok Guru Nik Aziz memulakan langkah memimpin rakyat Tanah Serendah Sekebun Bunga dengan asas serta paksi agama yang kini disambung pula oleh YAB Dato’ Ahmad Yakob. Terima kasih pimpinan semua yang terus kuat dan tekad mengemudi negeri ini dengan akidah yang suci lagi murni. Biarpun berdepan pelbagai serangan dan tohmahan, kekentalan para pimpinan terbukti kuat dan terus bertahan, Alhamdulillah.

Tahniah YB Dato’ Mohd Amar selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Ulangtahun ke 32 Tahun MBI. Terima kasih Dato’ Haji Hanifa dan YB Saiful Adli Abu Bakar serta Hj Zulkifli Mamat. Tahniah juga kepada semua yang terlibat. Teguh pertahan Kerajaan Islam Negeri Kelantan.