• Sun. Oct 1st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lebih 5000 hadir Majlis Iftar bersama MB Kedah di IDCC

Apr 10, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 9 APRIL 2023 – Majlis Iftar anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang diadakan di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) Shah Alam mendapat sambutan melebihi jangkaan.

Sejak seawal jam 5.00 petang, hadirin yang rata-ratanya anak Kedah khususnya di Lembah Klang berduyun-duyun memenuhi Aras 7 pusat konvensyen tersebut.

Menurut Pengarah program, Hilmi Abd. Wahab yang juga Setiausaha Politik MB majlis tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Namun, pihaknya tidak dibenarkan menyewa di situ dengan alasan terdapat kehadiran Dato’ Seri Muhammad Sanusi. Untuk rekod, MAEPS adalah di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menurutnya lagi, pihak penganjur menyediakan lebih 400 meja jamuan dan kerusi tambahan dengan anggaran 4000 hadirin. Walaupun begitu, ramai pengunjung masih selesa menjamu selera di atas karpet dan di luar dewan.

Semasa iftar, para tetamu dijamu dengan pelbagai aneka juadah makanan. Majlis berlangsung dengan lancar kerana pihak katering menyediakan banyak stesen untuk mengambil makanan.

Majlis turut dimeriahkan dengan solat Isyak dan Tarawikh secara berjemaah, di samping disediakan jamuan moreh sebelum bersurai.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi dalam ucapannya berikrar akan berusaha memastikan Kedah muncul sebagai negeri termaju di utara, lantas mengembalikan negeri tersebut sebagai kuasa besar yang dihormati suatu ketika dahulu.

Selain MB, majlis tersebut turut diisi dengan ucapan Pesuruhjaya PAS Kedah Senator Dato’ Ahmad Yahaya yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Dato’ Ahmad menyeru semua anak Kedah di perantauan supaya pulang ‘berhari raya’ dalam Pilihanraya Negeri nanti demi memastikan Kedah terus ditadbir oleh PAS dan rakan Perikatan Nasional.

Kedah antara enam negeri yang dijangka menghadapi PRN sekitar bulan Julai nanti.

(Media Fastaqim)