• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lelaki ‘bertelekung’ mengaku salah curi telefon bimbit di masjid sekitar Shah Alam

Dec 29, 2022
Spread the love

SHAH ALAM: Seorang lelaki bertelekung dalam sebuah video yang tular sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan mencuri telefon bimbit jemaah wanita di dua masjid di bandar raya ini, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Rezali, bagaimanapun mahkamah menangguhkan hukuman bagi menunggu laporan sosial tertuduh.

Mengikut dua pertuduhan tersebut, dia didakwa melakukan curi dalam bangunan dengan mencuri dua telefon bimbit milik dua wanita warga emas.

Perbuatan itu dilakukan secara berasingan di Masjid Al-Azhariah dan Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18 di sini, pukul 6.25 pagi dan 8.50 malam, 20 Disember lalu.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon penetapan tarikh bagi mengemukakan laporan sosial tertuduh yang masih muda.

“Selain itu, pendakwaan menawarkan kos ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin,” katanya.

Lelaki bertelekung
AKSI lelaki bertelekung yang disyaki mencuri beg jemaah wanita dekat masjid di sekitar Seksyen 18, Shah Alam, Selangor.
Mohamad Amirul Shafiq tanpa diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan pengurangan kos jaminan.

Mohamad Redza membenarkan kos ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Januari depan bagi pendengaran laporan sosial tertuduh.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan perbuatan terkutuk seorang lelaki yang sanggup bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di daerah ini tumpas apabila dicekup polis.

Perkara itu dikesan menerusi satu video tular yang memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lelaki memasuki ruang solat wanita untuk melakukan kegiatan melibatkan dua mangsa berkenaan.

Rakaman CCTV di dua lokasi kejadian mendapati suspek menggunakan taktik sama iaitu memakai telekung putih memasuki ruangan jemaah wanita. – UTUSAN