• Fri. Mar 1st, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lelaki biadap hina Islam direman empat hari

May 10, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki menghina Islam dengan mempersenda ucapan salam menerusi media sosial direman polis selama empat hari bermula, hari ini.

Setiausaha Polis Negara, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, ia susulan penahanan suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 40 tahun dalam serbuan di Wangsa Maju, di sini semalam.

Katanya, dalam kejadian itu, polis turut merampas dua buah telefon bimbit dan tiga sim kad milik suspek.

“Siasatan sedang dijalankan unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari bermula 10 hingga 13 Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, kata Noorsiah, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka sejak task force diwujudkan bagi menyiasat isu perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R).

“Daripada jumlah itu, seramai 12 orang telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE