• Fri. Mar 1st, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lelaki maut leher tersepit pintu bank di Shah Alam

Jan 2, 2024
Spread the love

SHAH ALAM – Seorang lelaki maut selepas lehernya tersepit pada pintu masuk sebuah bank dalam kejadian di Kota Kemuning dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 7.29 pagi berkaitan mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terbaring di hadapan pintu masuk ke ruang mesin pengeluaran automatik (ATM) bank berkenaan.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa dilihat berbaring di hadapan pintu masuk ke ruang mesin ATM dipercayai dalam keadaan mabuk pada jam 11.48 malam.

“Pada 12.01 tengah malam, pintu ‘shutter’ ruang mesin ATM itu tertutup secara automatik menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum ia terbuka (secara automatik) semula pada jam 6 pagi,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mohd Iqbal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa dianggarkan berumur lingkungan 50-an hingga 60-an serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul di talian 012-3630512,” katanya.