Ipoh: Lelaki maut akibat terperosok selepas dipercayai cuba menahan kereta miliknya daripada menggelongsor ke laut dalam kejadian di Jalan Teluk Senangin, Teluk Senangin, Pantai Remis, dekat Manjung, malam tadi.
Kejadian difahamkan berlaku berdekatan kawasan pantai itu mengakibatkan Muhammad Hafiz Ramli, 31, maut di lokasi kejadian dipercayai akibat lemas.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.34 malam tadi dan mengarahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Katanya, di lokasi, bomba mendapati sebuah Proton Gen2 sudah menggelongsor masuk ke laut dengan pihaknya turut dimaklumkan oleh orang awam bahawa terdapat seorang lelaki terperosok di bawah kereta itu.
“Mangsa dipercayai cuba menahan kereta itu dari masuk ke laut dan lemas sewaktu terperosok di bawahnya.
Dia bagaimanapun sempat dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa naik ke pantai sebelum ketibaan bomba,” katanya.
Katanya lagi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan Hospital Seri Manjung dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.
- HM