• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Lepas dapat passport, Zahid mohon kes rasuah Yayasan Akalbudi digugurkan

Apr 10, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan representasi kepada Peguam Negara dengan menyertakan fakta dan bukti baharu bagi menggugurkan tuduhan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Peguam belanya, Hamidi Mohd Noh memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Rayuan (yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi), Datuk Collin Lawrence Sequerah pada prosiding sebutan kes hari ini, pembelaan dengan itu memohon perbicaraan ditangguhkan sementara representasi diputuskan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Hamidi berkata, keseluruhan dokumen berkaitan representasi berkenaan mengandungi lebih daripada 200 muka surat yang dialamatkan kepada Idrus sendiri, dan ia perlu diteliti oleh pihak pendakwaan.

Katanya, pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob mengesahkan menerima surat representasi panjang lebar yang mengandungi isu kompleks dan mereka diarahkan untuk tidak membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan.

“Dalam surat representasi kepada kami, terdapat beberapa tahap iaitu yang pertama pada Januari, kemudian pada 14 Februari ada beberapa dokumen diserahkan kepada kami yang kesemuanya berjumlah lebih 200 muka surat.

“Selepas diteliti, representasi itu mengandungi isu kompleks yang dibangkitkan dan selepas berunding dengan pihak atasan iaitu Pendakwa Raya, kami diarahkan tidak bantah permohonan ini kerana pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk menimbangkannya,” katanya.

Sequerah kemudian bertanyakan Abdul Malik berapa lama masa diperlukan untuk meneliti representasi itu dan membuat keputusan dengan mengambil kira isu yang dibangkitkan pembelaan.

Abdul Malik berkata, pihaknya memerlukan masa lanjut kerana permohonan itu turut dikepilkan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bertarikh 20 Februari lalu yang menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu dikemukakan oleh pembelaan.

Katanya, pihaknya tidak menerima maklumat berhubung siasatan lanjut SPRM, bagaimanapun mereka memerlukan keputusan siasatan berkenaan untuk membuat keputusan terhadap permohonan representasi itu.

“Kami tidak tahu sama ada mereka sudah memulakan siasatan atau belum, jadi untuk melengkapkan keseluruhan proses, kami perlukan hasil keputusan siasatan,” katanya.

Selepas menimbangkan permohonan itu, Sequerah membenarkan perbicaraan kes itu ditangguhkan dan melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sepanjang bukan ini hingga Julai depan.

Hakim itu kemudian menetapkan pada 1 Ogos ini bagi menyambung perbicaraan atau bagi bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan lanjut berhubung keputusan representasi.

Ahmad Zahid selesai membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya pada Ogos tahun lalu.

Perbicaraan seterusnya akan bersambung dengan prosiding soal balas bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahmad Zahid, Datuk Mohd Kamal Abdullah.

  • BH