LIM Kit Siang mengulangi pendiriannya yang tidak bersetuju bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan diraja.
Veteran DAP itu berkata, pengampunan Najib tidak akan memberi pengajaran kepada Umno yang telah ditolak rakyat pada dua pilihan raya umum lalu.
“Saya tidak bersetuju, jika tidak, pengajaran yang diterima Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan ke-15 tidak akan berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap dakwaan sesetengah pihak bahawa pengampunan Najib dapat memulihkan sokongan rakyat kepada Umno.
“Ada mereka yang percaya bahawa cara untuk Umno mengembalikan sokongannya adalah dengan mendapatkan pengampunan untuk Najib Razak.
“Saya percaya yang satu-satunya cara untuk mengembalikan Umno sebagai parti politik utama adalah untuk mereka memainkan peranan dalam usaha untuk mengembalikan Malaysia kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara majmuk yang disokong oleh empat orang Presiden Umno yang terawal — Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn,” katanya.
Kit Siang berkata, Umno telah kehilangan sokongan orang Melayu dan bukan Melayu dalam PRU14 dan mereka telah menyaksikan keruntuhan sokongan orang Melayu dalam PRU15 pada tahun 2022, di belakang
PAS dan Bersatu yang membentuk Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, Umno perlu memainkan peranan utama memerangi rasuah dan kebebasan badan kehakiman sekiranya mahu pulih sekali gus kembali diterima rakyat.
“Perkara ini merangkumi juga usaha memerangi rasuah di Malaysia dan usaha untuk mengembalikan kebebasan badan kehakiman.
“Sejarah akan menentukan sama ada Umno, selepas dua keputusan buruk dalam PRU14 dan 15, dapat memainkan peranan ini dan sama ada masa hadapan Malaysia adalah untuk menjadi sebuah contoh kejayaan negara majmuk kepada dunia atau menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik,” katanya. MP