• Fri. Mar 21st, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

LRT Ampang tergendala gara-gara landasan bengkok, struktur rosak

Jan 27, 2023
Spread the love

Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok (kinked) berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Menurut satu kenyataan, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata hasil pemerhatian awal menunjukkan kelewatan berpunca daripada kerosakan struktur jejambat kawasan berkenaan dipercayai akibat kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.

“Jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terbabit bagi menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan.

“Atas faktor keselamatan, pihak Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan diantara stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan,” kata kenyataan tersebut yang disiarkan di Facebook, pagi tadi.

Katanya, operasi LRT Ampang akan dijalankan dengan kelajuan berkurangan dan dijangka berlaku kelewatan sebanyak sembilan minit dalam daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar kawasan perniagaan.

“Tren-tren daripada Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat manakala tren-tren daripada Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya manakala perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik antara Stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek.

“Perkhidmatan bas alternatif juga diaktifkan bagi menampung penumpang. Anggota polis bantuan sudah dikerahkan ke stesen utama bagi mengawal kesesakan.

“Pihak Rapid Rail memohon maaf diatas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami oleh para penumpang,” katanya lagi.

Sementara itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam satu kenyataan berkata kerja pembangunan dijalankan bersebelahan landasan itu dalam kawasan Rizab Kedua LRT dan dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan pihaknya.

“Pihak APAD memandang serius terhadap isu ini dan sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.

“Sebagai langkah keselamatan, APAD mengesyorkan Datuk Bandar menggantung pembangunan dan aktiviti terhad di zon perlindungan kereta api tersebut serta merta hingga diketahui punca sebenar serta segala aspek keselamatan dipatuhi pemilik projek,” katanya.