• Mon. Sep 25th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Mahkamah tolak permohonan Zahid dapatkan pasport secara kekal

Feb 3, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: “Tiada mana-mana individu atau golongan yang boleh melangkaui undang-undang. Oleh itu permohonan pemohon untuk mendapatkan pasportnya secara kekal adalah ditolak.”

Walaupun sedar akan tanggung jawab seorang Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Tinggi) menyatakan tugas yang perlu dilaksanakan itu tidak boleh bertembung dengan tugasnya sebagai tertuduh untuk hadir ke mahkamah kerana mahkamah juga mempunyai tugas yang perlu dijalankan.

“Salah satu syarat jaminan pemohon (Timbalan Perdana Menteri, Daruk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) adalah untuknya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semua individu adalah sama rata di hadapan undang-undang. Di mata undang-undang, tiada keistimewaan, individu atau golongan yang boleh melangkaui undang-undang.

“Tiada apa yang membezakan antara satu tertuduh dengan tertuduh yang lain yang didakwa atas pertuduhan sama. Pemohon boleh memohon agar pasportnya dilepaskan apabila perlu apabila ingin menjalankan tugasnya di luar negara selagi mana ia tidak mengganggu perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Hakim Sequerah berkata demikian dalam permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal atas alasan penahanan dokumen perjalanan itu oleh mahkamah telah menghalangnya menjalankan tugasnya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pasport sementara itu dipulangkan untuk sementara waktu bagi membolehkan Ahmad Zahid membuat pasport diplomatik dan memerintahkan agar pasport antarabangsa itu dipulangkan semula selepas urusan berkaitan selesai.

Menurut permohonan yang difailkan pada 20 Januari lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memohon agar jaminan RM2 juta yang dikenakan terhadapnya dikekalkan selepas pasport antarabangsa itu dipulangkan.

Pasport Ahmad Zahid disimpan oleh Mahkamah sejak 2018 selepas didakwa atas pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa atas 47 pertuduhan membabitkan 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau diperintahkan untuk membela diri atas kesemua pertuduhan itu pada 24 Januari 2022. Perbicaraan kes itu akan bersambung April ini.