• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MAIS larang program pengaruh umat Islam minat agama lain

Mar 18, 2023
Spread the love

SHAH ALAM – Program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, demikian merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik baru-baru ini berkenaan program “Projek Artikel 11 Jom Ziarah” anjuran Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurutnya, program itu menjemput para belia di Malaysia yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama berlainan termasuk acara di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang esok.

“Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain Islam.

“Jika program begini dibenarkan untuk dianjurkan, ia boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain Islam yang sedang dianuti oleh mereka,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Aziz berkata, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan program mempelajari agama lain selain Islam di gereja atau rumah ibadat agama lain memerlukan kawalan dan sekatan tertentu untuk memastikan tiada elemen memujuk orang Islam terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam, selain tiada penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain.

Katanya, pihaknya turut mengambil maklum kenyataan terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen bahawa program yang asalnya terbuka kepada semua orang kini ditukar dan dihadkan kepada para belia bukan Islam sahaja.

“MAIS menasihatkan mana-mana penganjur sama ada daripada sektor awam, badan bukan kerajaan (NGO) atau badan lain yang berhasrat mengadakan aktiviti dan program atas dasar perpaduan dan keharmonian perlu lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat di negara kita,” katanya. – Bernama