• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Majlis iftar bersama MB Kedah dibatalkan tiba-tiba

Mar 30, 2023
Spread the love

Penganjuran majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada 9 April berdepan halangan susulan pemilik dewan membatalkan tempahan.

Sanusi dijadualkan mengadakan majlis berbuka puasa bersama warga Kedah yang tinggal di perantauan pada 9 April di Dewan MAEPS, Serdang tetapi bagaimanapun pada saat akhir pihak penganjur memaklumkan terpaksa mencari lokasi baharu.

Sumber daripada penganjur memberitahu Agenda Daily tempahan sudah dibuat awal tetapi bagaimanapun dimaklumkan kini terpaksa mencari lokasi baharu.

“Sepatutnya tidak ada masalah kerana tempahan sudah dibuat awal, tetapi pada saat akhir pihak penganjur dimaklumkan tempahan dewan dibatalkan,” kata sumber.

Sumber juga tidak menolak pihak berkuasa menerima arahan daripada pihak atasan supaya membatalkan sewaan dewan di MAEPS.

Terdahulu, Sanusi juga mendedahkan dilarang daripada menghadiri sebarang majlis dan program kerajaan persekutuan.

Menurut Sanusi, ia termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima) yang berlangsung di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei ini.

“Keputusan terbaharu Kabinet Perdana Menteri Ke-10 adalah melarang Menteri Besar Kedah daripada apa jua program kerajaan persekutuan termasuk Lima di Langkawi.

“Apa boleh buat? Kalau panas, jangan koyak,” dakwanya dengan sindiran yang sinis di akaun media sosialnya.

Untuk rekod, Sanusi merupakan pengarah pilihan raya bagi Perikatan Nasional (PN) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.