• Mon. Apr 28th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Malaysia, CPOCP bantah Belgium haramkan minyak sawit

Spread the love

PUTRAJAYA: Malaysia sebagai salah sebuah negara pengasas dan anggota Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) menyokong sepenuhnya tindakan CPOPC mengemukakan bantahan kepada Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo melalui surat CPOPC bertarikh 24 Mei 2021 berhubung isu pengharaman penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di negara itu dalam tempoh terdekat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan negara tersebut adalah susulan daripada pelaksanaan perundangan European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Eropah selepas tindakan yang sama dibuat oleh Perancis dan Lithuania.

Beliau berkata, sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia amat kecewa dengan tindakan yang dilaksanakan tanpa mengambil kira kesungguhan dan usaha negara ini dalam memastikan industri sawit dilaksanakan dengan mampan.

“Langkah Belgium jelas bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap produk sawit Malaysia.

“Walaupun jumlah eksport biobahan api berasaskan sawit tempatan ke Belgium adalah kecil, namun tindakan ini boleh mempengaruhi negara lain dan seterusnya memberikan imej negatif terhadap industri sawit negara. Dalam hal ini, Malaysia menyeru agar Belgium dan Kesatuan Eropah (EU) serta negara anggotanya melihat kesan sekatan ini dengan lebih objektif.” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Dr Khairuddin berkata, pada 15 Januari 2021, Malaysia telah pun memulakan tindakan undang-undang terhadap EU serta negara-negara anggotanya berkaitan pelaksanaan EU RED II dengan memfailkan permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah WTO. Proses tindakan undang-undang ini sedang berjalan dan mengikut prosedur yang digariskan oleh WTO.

Menurut beliau, Malaysia sentiasa komited dalam memastikan industri sawit negara dilaksanakan secara mampan dan lestari selaras dengan kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang dibangunkan oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB). Komitmen ini dapat dilihat antaranya melalui pelaksanaan secara mandatori Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada masa ini.

Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan sentiasa mempertahankan kepentingan industri sawit negara demi kelangsungan dan sumbangannya kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia, khususnya kepada masyarakat luar bandar.