Dalam laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Malaysia di tempat kedua di rantau Asia pada tahun 2020 dalam kes buli siber khususnya dalam kalangan remaja.
Dalam laporan daripada Ipsos Public Affairs pada 2018 pula menunjukkan tren buli siber semakin meningkat di Malaysia dan insiden ini paling kerap berlaku di media sosial.
Di Malaysia, tidak ada undang-undang khusus berkaitan buli siber. Yang ada, beberapa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi kesalahan buli dan buli siber.
Contoh, A mengeluarkan perkataan yang membawa maksud ugutan bunuh terhadap B. Perbuatan ugutan untuk menyebabkan kematian adalah kesalahan jenayah yang termaktub bawah Kanun Keseksaan.
Apabila kesalahan ugutan bunuh ini dilakukan dalam media sosial dan mendatangkan ketakutan kepada B, peruntukan di bawah Kanun Keseksaan masih boleh terpakai.
Contoh akta lain yang boleh terpakai antaranya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Di bawah seksyen 233(1)(a), peruntukan ini menyebut:
““…dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar— (i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.”
Kesimpulannya, kesalahan buli siber tetap boleh diambil tindakan undang-undang yang mana peruntukan-peruntukan bagi kesalahan ini terkandung dalam pelbagai statut.
Namun hari ini, kita terkejut melihat anak muda yang kritis bersuara menjadi mangsa buli siber dengan hamburan kata kata lucah, penghinaan, ‘body shaming’, gangguan privasi namun dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya.
Malah ditekan lagi anak-anak muda ini dengan dipanggil untuk disiasat dan ada yang disekat dan digodam akaun mereka.
Mereka yang menjadi pemangsa pula dibiarkan bebas menjadi wira bacul di media sosial yang mana kebanyakannya berselindung di sebalik akaun-akaun palsu.
Kerajaan hari ini pernah menjadi pembangkang yang sangat berjaya suatu masa dahulu. Mereka dahulunya sangat lantang melaungkan hak kebebasan bersuara.
Tidak sikit kritikan yang diberikan kepada kerajaan dahulu ketika mereka menjadi pembangkang. Sehingga akhirnya mereka berjaya meruntuhkan sebuah kerajaan yang tidak pernah kalah.
Kerajaan hari ini juga pernah menjadi sebahagiaan daripada kerajaan 22 bulan yang gagal. Mereka berjaya menjadi kerajaan semula selepas PRU-15 kerana bercampuran dengan parti yang mereka sendiri tumbangkan.
Mereka membawa naratif rasuah, perompak, penyamun dan sebagainya. Mereka pernah bersuara bebas tanpa sempadan.
Namun hari ini, canggung rasanya melihat kegagalan mereka dalam menghadapi kritikan terbuka terutamanya daripada pembangkang dan lebih menyedihkan lagi daripada anak-anak muda. Mereka seakan-akan takut dan tidak biasa dengan hak bersuara yang mereka pernah perjuangkan.
Jika anak-anak muda ini salah dan memfitnah, sepatutnya kerajaan boleh menjawab dan buktikan sebaliknya. Tunjukkan keupayaan mampu berlapang dada menerima kritikan dan menjawab dengan baik.
Jika anak-anak muda ini disisasat kerana pandangan dan kritikan terbuka mereka, siasat juga pelampau yang menjadi pembuli siber yang mencetuskan budaya cemuhan dan hinaan yang sangat keterlaluan.
Anak-anak muda hari ini tidak patut dibuli hanya kerana mereka lantang berbeza pandangan dan terbuka mengkritik kerajaan.
ZURK AHMAD
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat