• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MB Kedah mohon doa untuk kesihatan bapanya

Apr 5, 2022
Spread the love

SHAH ALAM, 5 APRIL 2022 – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta orang ramai mendoakan bapanya, Md Nor Taib yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar agar segera pulih.

Beliau memaklumkan, sejak empat hari lalu bapanya mengadu tidak larat namun tidak mengalami demam.

“Dia hilang tenaga dan hilang selera. Lepas berbuka puasa tadi (semalam) pak betul-betul tak bertenaga. Solatnya di kerusi mak saja.

“Jam 9 malam adik bongsu memaklumkan ‘pulse rate’ pak hanya 33, dia nak bawa ke Hospital Sik untuk buat pemeriksaan.

“Saya dan adik-beradik lain menyusul. ‘Pulse rate’ pak tak stabil, turun naik tak menentu antara 31-60, dibuat ujian darah dan x-ray, kata doktor jantung pak tidak stabil,” kongsinya di Facebook.

Susulan itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau menghubungi Ketua Penyelia HSB untuk membawa bapanya ke hospital tersebut.

Kongsinya lagi, setibanya di HSB pada jam 3 pagi, bapanya terus dibawa ke Zon Merah untuk pemeriksaan lanjut.

“Terima kasih doktor dan jururawat Hospital Sik, dan terima kasih En Subhi (Tok Misai) yang menjawab telefon walaupun jam 1.30 pagi. Semoga pak dapat sembuh.

“Kali pertama pak ke hospital ialah pada 1985, kerana tangannya bengkak dipatuk ular kapak di jari ketika mengerat padi di bendang. Dia lari dari wad Hospital Sungai Petani balik ke rumah pada hari kedua di situ.

“Jarinya mereput tetapi tumbuh isi semula, tetapi jarinya bengkok dan runcing sampai sekarang.

“Ini kali kedua pak ditahan di hospital sejak 37 tahun lalu. Hero kami sepanjang zaman… Semoga berkat Ramadan ini Allah sembuhkan pak sekali lagi,” katanya.