• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MCA akan terus kritik PH, DAP kata Naib Presiden

Jul 21, 2023
Spread the love

MCA akan terus mengkritik Pakatan Harapan (PH), khasnya DAP, walaupun menjadi sebahagian daripada blok kerajaan perpaduan, kata Naib Presidennya Ti Lian Ker.

Ti berkata, MCA secara khususnya akan terus mengkritik “mungkir janji, hipokrit, kegagalan dan pembohongan” DAP.

Beliau memberi contoh DAP melakukan pusingan U dalam isu seperti sistem kuota Bumiputera di universiti awam, yang dahulu dibantah parti itu.

Ti berkata, DAP yang paling lantang mengkritik sistem itu dahulu, kini mendiamkan diri berhubung isu terbabit.

“Adalah malang DAP tiba-tiba membisu dalam isu seperti ini yang sebelum ini mereka lantang dan pernah gunakan terhadap MCA,” katanya kepada FMT.

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata, walaupun tidak mengkritik kerajaan perpaduan dalam perkara sedemikian mungkin memberi gambaran mereka barisan bersatu, tetapi mendiamkan diri dalam jangka panjang mungkin memudaratkan.

“Kami hanya mahu DAP bertanggungjawab terhadap lebih 90% pengundi Cina mengundinya. DAP acap kali menghentam MCA ketika mereka menjadi pembangkang, tetapi ia kini mengubah pendiriannya.”

Katanya, terdapat keperluan untuk memastikan tiada janji dimungkiri kerana kegagalan mengotakan janji akan memberi kesan lebih berpanjangan kepada pengundi berbanding hanya memainkan “gelombang hijau”, yang disifatkannya taktik menakutkan.

Ti berkata, pengundi kecewa dengan pusingan U dan janji tidak dikotakan, serta kerajaan semasa tiba-tiba menjalin pakatan dengan seteru lama.

“Isu dan kebimbangan yang kami bangkitkan adalah sah,” katanya sambil menambah kritikan partinya akan dibuat berdasarkan “fakta dan statistik”.

Beliau turut memberi jaminan MCA tidak berniat menyasarkan kelemahan seseorang secara tidak adil atau menggunakan provokasi keterlaluan.