• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MCA desak DAP akui kesilapan jika Malaysian Malaysia mahu hapus kuota Bumiputera

Sep 4, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: MCA menggesa DAP memberi penjelasan mengenai konsep Malaysian Malaysia dibawa parti itu supaya ia tidak lagi menyumbang kepada ketegangan kaum

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata DAP juga perlu mengakui kesilapan kepada rakyat jika konsep Malaysian Malaysia selari dengan janji parti itu menghapuskan kuota Bumiputera dan mengembalikan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan lain-lain.

“Sekiranya konsep Malaysian Malaysia selari dengan perjuangan Perikatan dan wawasan Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, maka kita seharusnya mendidik dan menghuraikan konsep terbabit kepada seluruh rakyat dalam konteks kepelbagaian budaya, bangsa dan negara.

“Tetapi sekiranya Malaysian Malaysia ala DAP selari dengan janji DAP untuk menghapuskan kuota Bumiputera dan mengembalikan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan lain-lain, sampai masa DAP mengakui kesilapan mereka kepada seluruh rakyat.

“Ini adalah isyarat paling mudah bagi DAP terhadap pemulihan sebuah Malaysian Malaysia yang bersatu dan harmoni, impian seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Lian Ker menegaskan MCA menyokong gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed supaya DAP menggugurkan tuntutan ‘Malaysian Malaysia’ dan menggesa komponen Pakatan Harapan (PH) menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota Bumiputera berikutan hujah matlamat sedemikian menghalang parti berkenaan daripada mendapat sokongan orang Melayu.

Nur Jazlan ketika mempertahankan UMNO menyatakan pihak lain dalam kerajaan campuran terutama DAP perlu berubah menjadi parti yang lebih sederhana, jika mahu diterima orang Melayu negara ini.

Sehubungan itu, DAP disarankan menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan parti berkenaan.

Mengulas lanjut Lian Ker berkata, kebelakangan ini, UMNO menggesa DAP untuk menilai semula perjuangan Malaysian Malaysia mereka.

Katanya, ia membangkitkan syak wasangka dan ketegangan dalam kalangan masyarakat Melayu, khususnya berkenaan janji DAP untuk menghapuskan kuota dan hak istimewa Bumiputera.

Lian Ker berkata, hari ini semua konsep dibawa DAP terbukti hanya propaganda yang menghasut kebencian terhadap parti komponen Perikatan di bawah kepemimpinan Tunku Abdul Rahman dan juga BN.

“DAP membuat beberapa deklarasi berbeza dalam usaha untuk menutup tuntutan mereka yang tidak munasabah, tidak tepat pada masa dan tidak selari dengan sentimen politik hari ini.

“Malah, hari ini di dalam publisiti rasmi DAP, mereka (DAP) mengisytiharkan komitmen mereka untuk menegakkan dan menjunjung perjuangan Tunku Abdul Rahman dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, ia komitmen MCA yang ditiru DAP dan disebabkan janji DAP untuk hak sama rata, menyebabkan MCA kalah lebih separuh kerusi Parlimen yang ditandingi ketika Pilihan Raya Umum 1969, yang seterusnya membawa kepada kejatuhan Perikatan dan Tunku Abdul Rahman.

“Sejarah kemudian tercatat selepas tragedi 13 Mei,” katanya.

Konsep Malaysian Malaysia sebelum ini digunakan bekas Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk menentang kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan merujuk kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ia berkenaan keistimewaan yang diberi kepada kaum Melayu dan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam, pemberian biasiswa awam dan kemasukan ke institusi pendidikan awam serta pemberian lesen perdagangan.

DAP kemudian mengguna pakai konsep Malaysian Malaysia ala DAP, dan dalam beberapa deklarasi seperti Deklarasi Setapak, mereka menyatakan, ‘DAP komited kepada sebuah Malaysia yang bebas, demokratik dan sosialis, berdasarkan prinsip kesaksamaan kaum, keadilan sosial dan ekonomi, dan berdasarkan institusi demokrasi berparlimen’.

Deklarasi Setapak juga mengisytiharkan kuota dan perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera wajar dihapuskan.

Selain itu, terdapat juga deklarasi lain seperti Deklarasi ‘Cultural’ yang menggesa, pemansuhan klasifikasi ‘sekolah kebangsaan’ dan ‘sekolah jenis kebangsaan’ supaya layanan sama rata boleh diberikan kepada semua aliran pendidikan, iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Ia juga menyatakan komitmen DAP ‘bahasa Cina dan Tamil diterima sebagai medium pengajaran dan juga di dalam ujian peringkat sekolah rendah dan menengah di semua sekolah aliran Cina dan Tamil

Selain itu, kemasukan ke universiti akan diterima berdasarkan merit kelayakan pendidikan asas sahaja.

Deklarasi ‘Cultural’ itu juga berhasrat mengembalikan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi serta menggalakkan penggunaan bahasa Tamil dan Cina, serta membenarkannya digunakan di dalam persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

  • BH