• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MCA tanya mana hilang suara anti Lynas lepas lesen dilanjutkan

May 9, 2023
Spread the love

Selepas kelulusan lanjutan diberikan kerajaan campuran kepada Lynas Malaysia enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi, MCA kini mempersoalkan mana hilang semua kumpulan yang membantah kilang nadir bumi itu.

MCA mempersoalkan apakah kumpulan Anti-Lynas kini sudah bersetuju dengan pengumuman kerajaan campuran untuk melanjutkan operasi kilang tersebut?

Menurut Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Lau Chin Kok berkata sebelum ini pemimpin pembangkang yang kini berada dalam kerajaan sekarang yang paling lantang membantah kilang tersebut tetapi adakah pendirian tersebut sudah bertukar sekarang.

“Pada masa lalu, beberapa ahli politik menjadi sebahagian daripada orang ramai yang mengutuk sekeras-kerasnya pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang. Pada masa itu, banyak tuduhan dan fitnah digunakan untuk memberi gambaran buruk projek.

“Menurut laporan, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengesahkan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi telah memberi Lynas Malaysia lanjutan enam bulan, selepas tarikh akhir sebelum ini pada 1 Julai 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Chin Kok berkata sebelum ini pembangkang mengadakan Himpunan Hijau untuk membantah projek tersebut pada 2012 dan digesa menyatakan pendirian mereka ini.

“Mereka harus menjelaskan pendirian mereka sekarang, sama ada mereka masih menentang projek itu, dan melabelkannya sebagai loji pemprosesan nuklear,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, pembangkang Pakatan Harapan sebelum ini paling lantang membantah operasi kilang Lynas tersebut dengan pelbagai dakwaan, namun pendirian mereka dilihat berubah sejak menjadi kerajaan pusat.

Malah, kelulusan lanjutan juga diberikan kepada kilang tersebut untuk beroperasi walaupun sebelum ini membuat pelbagai tuduhan.