Tarikh 8 November 2021 – histori penting direkodkan bagi Media Fastaqim (M-Fast) dengan pelancaran rasminya oleh Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, Pesuruhjaya (PJ) PAS Melaka di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) N.21 Duyong.
Gimik pelancaran pula disempurnakan oleh YB Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Setiausaha Majlis Syura Ulama’ yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dan YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Aziz, Ahli Parlimen Pasir Mas.
Hari itu juga hari penamaan calon-calon bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka. PAS atas nama dan lambang PN disahkan bertanding di lapan DUN, iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Klebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
Sepanjang hari itu dan keesokkannya kami berada di Bandaraya Bersejarah. Agendanya untuk mendapatkan bahan bagi produksi poster, video dan berkaitan – termasuk temubual dengan pimpinan pusat, negeri dan orang Melaka. Hari pertama bahan diambil di Durian Tunggal, kemudian di Duyong. Hari kedua bergerak ke Serkam dan Klebang.
Fokus kami di DUN Duyong. Dua hari sebelum itu, perbincangan awal telah dibuat di Shah Alam dengan pembantu peribadi PJ Melaka untuk membantu unit media baru di situ. Kami diminta ‘berkampung’ di Duyong untuk ‘setup’ dan produksi bahan media baru – khasnya untuk FB dan Tiktok.
Ini kerana di situ PJ bertanding. Di situ pula al-maklum sebagai salah satu daripada lima DUN di bawah Parlimen Kota Melaka – kubu kuat DAP di Melaka. Empat daripadanya dikuasai PH-DAP – termasuk pernah diwakili oleh Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, iaitu pelantikan MP pertama baginya pada 1986.
Dalam PRU-14 lepas, DUN ini dimenangi oleh PH melalui Setiausaha DAP Melaka dengan majoriti 2,895. PH-DAP mendapat 7,642 (42.2%), BN-MCA mendapat 4,747 (26.25) sementara Datuk Kamarudin selaku calon PAS hanya mendapat 2,938 (16.2%) undi. Untuk rekod PH-DAP memenangi parlimen ini dengan majoriti 49,175.
Namun, dalam PRN kali ini, BN membuat perubahan dengan meletakkan calon UMNO di DUN ini sementara calon MCA ke DUN Klebang – satu percaturan yang menyebabkan kek pengundi Melayu Islam di Duyong semakin mengecil.
Aspek lain, PRN Melaka bukan seperti mana pilihanraya-pilihanraya sebelum ini. Di sini berubah. Kempen pun dah lain. Ini digambarkan awal oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat (JPPP), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga YAB Menteri Besar Kedah. Katanya pada 31 Oktober 2021, ‘PAS akan melaksanakan 70 peratus kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui media sosial.’
Seminggu kemudian pada 7 November 2021, Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PRN tersebut dengan nota aktiviti berkempen, antaranya:
• Penganjuran ceramah/ syarahan/ kempen secara fizikal tidak dibenarkan;
• Kempen ziarah rumah ke rumah tidak dibenarkan;
• Walkabout tidak dibenarkan;
• Pengedaran pamphlet kepada orang awam secara bersemuka tidak dibenarkan.
Semua aktiviti tersebut adalah kempen biasa sebelum ini. Bila tidak dibenarkan dan dikompaun jika melanggarinya, sudah pasti ini luar biasa. Malah, keberangkalian kempen melalui media sosial sudah meningkat menjadi 90 peratus.
Justeru, petugas PAS lebih-lebih lagi media kena bersedia awal dengan situasi ini. Biarlah PRN Melaka menjadi tempat mujahadah untuk bersedia menempoh PRU-15. Lantaran itu, Media Fastaqim – yang wujud tidak rasmi lebih setahun lalu – berbincang dan bersetuju untuk terlibat secara langsung dalam perang maya ini melalui beberapa strategi kempen.
Setakat ini, kekuatan kami seramai 10 orang ahli dengan dibantu oleh pasukan Media Istiqamah. Dengan kepakaran ahli yang pelbagai – designer, produksi video, webmaster, FB Live, wartawan rakyat dan sebagainya – kami yakin untuk mendepani cabaran PRU-15 nanti untuk PAS. PRN Melaka tempat latihan kami.
Media Fastaqim (M-Fast)
mediafastaqim.com
[Ikuti Coretan 1 pada hari penamaan calon]