• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Mee segera ada babi, penganjur derma darah mohon maaf

Jun 29, 2022 , ,
Spread the love

BATU PAHAT, 29 JUN 2022 – Penganjur program derma darah di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini memohon maaf mengenai isu pemberian beg cenderamata mengandungi mi segera berperisa daging babi sehingga menimbulkan kekecohan kepada penerima beragama Islam.

Pengerusi jawatankuasa pengelola program berkenaan, Lou Kok Meng berkata, pihaknya sedia bertanggungjawab dan mengakui perkara itu sememangnya tidak disengajakan.

“Pihak penganjur mengambil maklum mengenai perkara itu dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Wakil daripada kami juga sudah ke Bahagian Pengurusan Pentadbiran Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk memberi penjelasan mengenai kejadian itu,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika ini pihaknya hanya mampu memohon maaf kepada orang ramai terutamanya kepada pengunjung yang datang menderma darah dalam program berkenaan dan akan memperbaiki keadaan.

Terdahulu, polis daerah ini membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes pemberian cenderamata mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi ketika program derma darah di sebuah pusat beli-belah di sini, kelmarin. – UTUSAN