• Wed. Jun 7th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Melaka ‘kompas rosak’ kerajaan PH-BN pula kluk-klek, gagal” kata Razman

Apr 15, 2023
Spread the love

BAGAN SERAI, 14/04/2023 – Selepas Melaka sifatkan sebagai kompas rosak, kini Pesuruhjaya PAS Perak YB Tuan Haji Razman Zakaria pula labelkan PH-BN sebagai kerajaan kluk-klek dan gagal.

Tidak konsisten dan tiada hala tuju jelas dalam soal prinsip selain retorik menggula-gulakan rakyat menjadi sebab utama beliau melabelkan istilah tersebut terhadap pentadbiran hari ini.

“Kenyataan umumnya, kerajaan pada hari ini gagal, disebabkan kurangnya wibawa pada mereka mereka yang nak mengambil pentadbiran ini.

“Yang pertama adalah isu tekanan hidup atau bebanan hidup Rakyat. Yang kedua isu memerangi rasuah. Yang ketiga isu yang dilaungkan, isu pemisahan kuasa supaya ada semak dan imbang diantara eksekutif, legislatif dan administratif.

“Tapi kita lihat perkara ini tidak ada satu pun hala-tuju yang jelas untuk membawa negara ini ke mana. Begitu juga dalam keadaan situasi ekonomi yang menimpa Rakyat.

“Tidak nampak ada satu tindakan yang jelas untuk membantu ekonomi. Cuma diwar-warkan menu Rahmah. Tetapi tidak ada satu program menu Rahmah yang boleh membantu masalah rakyat”, ujarnya.

Tambahnya lagi tidak ada satu perkara pun yang mampu untuk dibanggakan sebagai menjadi suatu perkara yang direalisasikan atas apa yang dijanjikan.

“Isu KWSP pun tak dapat nak diselesaikan. Yang bercanggah daripada apa yang mereka kata dan kempen kan sebelum pilihanraya dengan selepas pilihan raya. Selepas ambil pemerintahan, tidak ada satu yang boleh kita banggakan.

“Kalau nak kata mereka memperjuangkan Rakyat, bukan memperjuangkan golongan elit, cuba tanya apa yang mereka lakukan untuk menambah pendapatan Rakyat, mencukupkan keperluan rakyat untuk memenuhi keperluan seharian?

“Tidak ada sesuatupun ! Dan juga memberi peluang pekerjaan kepada mereka mereka yang keluar daripada universiti dan beberapa peratus mereka-mereka yang menganggur akibat covid 19.

“Tidak ada satu langkah yang kita lihat untuk menambah (meningkatkan ekonomi mereka). Kemudian dia katakan dengan jelas dia memerangi rasuah. Bila kata memerangi rasuah, sepatutnya rasuah ke sana (ditolak).

“Orang-orang yang terlibat dengan rasuah, yang terpalit dengan rasuah seperti mana kakitangan kerajaan di peringkat rendah apabila mereka disiasat maka digantung kerja sehingga siasatan selesai.

“Tetapi tidak ! Mereka yang ada kes mahkamah dalam siasatan, diangkat menjadi pemimpin yang tertinggi. Jadi tidak ada fokus. Memang kluk-klek, memang kluk-klek. Tidak ada satu jalan yang ditunjuk. Nak memerangi rasuah pun tidak ada. Ini yang kita kata tidak ada fokus, gagal !” Ujarnya lanjut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai prestasi kerajaan hari ini setelah memasuki bulan kelima pemerintahan.

Terdahulu beliau menghadiri majlis iftar bersama kepimpinan PAS Kawasan Bagan Serai dalam program Liqa’ Fikri Badar kubra yang diadakan di Dewan Abdul Wahab Nor pada Jumaat.

Dalam program tersebut beliau turut menyumbangkan goodies berupa kain pelikat/batik, dan duit raya kepada semua guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di kawasan tersebut.

Sementara itu, Harakah dalam edisi cetak hari ini menyiarkan pada muka depan akhbar tersebut dengan tajuk PH-BN umpama kompas rosak sebagai perumpamaan kerajaan tiada hala tuju.

Berita tersebut dipetik melalui ucapan Pesuruhjaya PAS Melaka Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin pada program iftar Jamaie dan sambutan badar kubra Perikatan Nasional peringkat negeri Melaka.