Entah apa lah dosa orang Melayu Islam sehingga digelar angkuh oleh Perdana Menteri Kesepuluh.
Kita telah berkorban menerima hampir sejuta kaum bukan Melayu sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Kita beri puluhan ribu ekar tanah kepada mereka. Kita ikhlas berkongsi segala nikmat di tanah air ini.
Walaupun kita kaum majoriti, kita tetap tidak pernah Melayukan orang Cina atau India. Mereka kekal dengan cara hidup mereka bersama kita di Malaysia (Bukan Cambodia)
Namun setelah segala pengorbanan dan budi, hari ini kita yang diberi amaran, “Jangan telalu angkuh hingga bukan Islam tidak boleh dirai”. Walhal kitalah yang sedang dizalimi di tanah air sendiri.
Data kemiskinan, pekerjaaan, pendapatan dan kekayaan modal semuanya menunjukkan orang Melayu telah ketinggalan berbanding bukan Melayu.
Satu-satunya data yang menunjukkan kedudukan Melayu lebih tinggi hanyalah kadar kemiskinan.
Tunjukkan kepada kami, negara mana di dunia ini yang kaum majoritinya lebih miskin berbanding kaum minoriti? Bangsa mana yang lebih ramai mengganggur dan bangsa mana pula yang tersenarai di dalam 10 individu paling kaya di Malaysia?
Suatu hakikat yang amat menyedihkan.
Namun, tidak pernah walau sekali pun orang Melayu Islam ini menafikan hak kaum lain. Kontrak sosial yang dimeterai dahulu dipegang erat. Seribu satu kelebihan telah mereka peroleh.
Mereka yang awalnya kita terima sebagai warganegara kini bahkan diangkat sebagai Ahli Parlimen dan boleh membentuk dasar negara. Tidak cukupkah semua itu? Masih angkuhkah kami?
Yang sering orang Melayu Islam bangkitkan hanyalah tentang hak kami yang sudah terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sungguh orang Melayu Islam tidak pernah membenci kaum lain, kami bencikan mereka yang merampas hak kami.
Tidak wajarkah kerisauan kami apabila keistimewaan anak bangsa kami dinafi, hak pendidikan kami kian terhakis dan agenda pemerkasaan Bumiputera diganggu-gugat.
Biasiswa JPA bagi beberapa bidang yang menjadi milik istimewa orang Melayu kini dihentikan. Dasar matrikulasi berhubung kuota kemasukan pelajar berdasarkan kaum juga ditekan untuk diubah oleh DAP.
Kerajaan MADANI ini telah menutup fungsi yayasan dan agensi yang memacu perkembangan ekonomi Bumiputera. Dalam masa sama kerajaan cadang untuk memperuntukkan sebanyak RM104 juta bagi pembangunan Kampung Baru Cina. Siapa yang angkuh sebenarnya?
Jika begini keadaannya, mungkin tidak lama lagi akan tercapailah cita-cita DAP untuk memastikan masyarakat berbilang kaum mendapat hak sama rata di dalam agihan kek ekonomi dan pembangunan sosial.
Jika inilah perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kami merayu kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk membela nasib Bumiputera di negara ini. Apa makna pemimpin yang lancar berbahasa Melayu jika polisinya merugikan Melayu Islam?
Ini bukan isu rasis atau prejudis terhadap bangsa lain, ini soal hak dan kedaulatan. Kita sudah banyak bertoleransi namun kita jugalah yang ditohmah. Kasihan bangsa kita.
ZURK AHMAD
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat