• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Menang 9 kerusi boleh jadi menteri besar

Jan 2, 2023
Spread the love

SEMPENA tahun baharu 2023 kita redakan sekejap kehangatan politik. Ini bukan bermakna tiada isu politik di hadapan kita. Isu politik tetap ada. Ia tidak pernah sunyi.

Ini kerana dalam semua dimensi kehidupan, ada hubung kait dengan politik. Ia tidak terkecuali. Kalau ada orang kata agama tiada kaitan politik, itu seumpama orang jahil.

Kata arwah Prof Dr Yusof al Qaradhawi, ajaran Islam yang disyariatkan Allah tidak mengabaikan satu aspek pun dalam kehidupan manusia. Islam memberi ketentuan atau petunjuk meangkumi semua aspek, sama ada material, spiritual, individu atau sosial.

Malah Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Malam pun terang bagaikan siang hari, tidak ada orang yang menyimpang (daripada Sunnah Rasul) kecuali akan binasa,”.

Banyak lagi dalil kalau hendak perdebatkan isu tersebut. Sebab itulah kita hairan apabila ada pihak sebut, di masjid pun ada kuliah sentuh isu politik.

Mungkin itulah yang berlaku di Perak dan Pahang sekarang. Melarang wakil rakyat menyampaikan kuliah. Lebih parah lagi wakil rakyat yang ada tauliah juga dilarang. Apa nak jadi.

Adalah lebih baik tidak perlu diberi tauliah kalau sekadar hendak simpan dalam fail atau lekat frame di dinding.

Apa maknanya semua itu. Kalau kita jengok sejarah lama, ia merupakan detik-detik ke arah kejatuhan sesebuah kerajaan.

Kita tinggal sekejap isu tersebut. Ramai tertarik perkembangan yang berlaku di Perak sekarang. BN yang hanya menang 9 kerusi Dun boleh dapat jawatan menteri besar. Pelik kan.

Dalam situasi normal Umno sepatutnya berada di saf pembangkang. BN ketinggalan jauh di belakang Pakatan Harapan (PH) yang kuasai 23 kerusi Dun. Lebih jauh lagi kalau dibanding PERIKATAN NASIONAL (PN) yang menang 26 kerusi.

Apabila keganjilan berlaku tentunya pentadbiran negeri juga boleh terbantut. Biarpun Umno mendapat kerusi menteri besar, ia sekadar ihsan PH.

PH boleh mengambil tindakan serupa dilakukan Umno sebelum ini menguji usul undi percaya terhadap menteri besar. Faizal Azumu pernah melalui situasi itu kerana strategi ‘divide and rule’ Umno.

Faizal disingkirkan daripada kerusi menteri besar kerana Umno mahu membolot kuasa. Dan strategi serupa boleh dilakukan PH kerana memiliki kerusi Dun lebih besar berbanding BN.

Jalan raya terabai

Rakyat Perak bimbang kerana kepincangan seperti itu menyebabkan prasarana bagi kemudahan rakyat terabai. Cuba kita jengok jalan raya Jeli-Gerik di sempadan sebelah Perak.

Masya-Allah. Semua pengguna jalan itu mengeluh panjang. Penulis pernah bangkit isu tersebut pada September lepas, namun ia berlalu begitu sahaja.

Mungkihkan kerana kecelaruan politik menyebabkan kemudahan awam lama terabai. Sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut tentunya membebel panjang.

Biarpun laluan tersebut jalan persekutuan, namun imej Perak tercalar teruk. Seperti tiada usaha bagi memastikan jalan terbabit boleh memberi keselesaan kepada orang ramai.

“Saya perit melalui jalan Gerik-Jeli. Lubang ada di mana-mana. Hendak lari ke tengah pun berlubang, di tepi pula berlopak.

“Kadang-kadang kereta bergerak seumpama kuda. Penumpang di belakang terhuyung hayang. Situasi teruk tersebut berlaku sejak dua tahun lepas,” kata seorang jurutera yang bekerja di Pulau Pinang.

Beliau sering pulang ke Kelantan ketika cuti. Penulis pun tahun ini sudah tiga kali berulang alik melalui jalan tersebut. Terbaru Khamis lepas.

Sebelum ini kerajaan Perak cuba menyalahkan kerajaan persekutuan. Sedangkan laluan sama di sebelah Kelantan juga jalan persekutuan, namun jalannya lebih elok.

Pemimpin politik di Kelantan berusaha mendapatkan bantuan pusat bagi mengetar sebahagian jalan tersebut. Bekas ahli parlimen Jeli Mustapa Mohamed menjengok sendiri jalan terbabit awal tahun lepas.

Beliau meninjau sehingga ke sempadan Perak. Selepas itu jalan Jeli-Gerik di sebelah Kelantan dibaiki dan ditar semula.

Apa pula tindakan pemimpin di Perak. Sehingga sekarang jalan yang menghubungkan timur dan barat seperti terabai. Kemahuan politik tidak kuat. Apakah kerana politik minoriti.

Kuasa politik minoriti menyebabkan Umno sentiasa cemas. Kerajaan PH-BN Perak bila-bila masa sahaja boleh tumbang.

Mungkinkah bagi mengelak kerajaan tumbang, isu-isu kemudahan awam dikesampingkan? Kesannya besar. Ia mencerminkan imej jalan raya di Perak. Silap haribulan kerajaan PH-BN cepat tersembam. – HARAKAHDAILY 2/1/2023