• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Menteri Komunikasi kini disiasat polis

Aug 1, 2023
Spread the love

MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil disiasat polis kerana didakwa berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata satu kertas siasatan telah pun dibuka selepas menerima aduan berkaitan insiden itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, pihaknya juga sudah mendapatkan rakaman ucapan itu dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Pihak polis sedang teliti (rakaman) dan akan menelitinya untuk siasatan lanjut.

“Kita akan beri maklum balas serta perkembangannya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Ulang Tahun ke-7 Polis Bantuan Sime Darby Property Berhad, di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan menerima aduan Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Sebelum ini, tular gambar Fahmi di media sosial ketika berucap di ruang solat utama masjid berkenaan, bagaimanapun beliau menerusi Facebook menafikan dakwaan berkempen di masjid berkenaan.

Beliau sebaliknya menjelaskan singgah di situ untuk menunaikan solat zuhur kerana ia masjid paling dekat dengan lokasi program seterusnya.

Beliau turut memberitahu dijemput oleh kariah masjid bagi mengulas isu kumpulan The 1975.