“SEMAKIN tinggi tahap pendidikan, semakin cenderung anak-anak muda undi Pakatan Harapan. Yang belajar tak tinggi, main moto sana-sini, mereka undi PERIKATAN NASIONAL…”
Kata-kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan pada Konvensyen Pakatan Harapan Kedah 2023 yang diadakan di Sungai Petani semalam adalah prejudis, menghina dan merendahkan majoriti anak muda negara yang menyokong PERIKATAN NASIONAL.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan kesal dan berdukacita di atas tuduhan yang dikeluarkan. Atas apa jua dapatan kajian, sayugia perkataan menghina sebegitu tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang menteri.
Beliau sendiri kalah pilihan raya dan dilantik Senator untuk memberikan ruang kedudukan menteri, lalu apa kelayakan yang beliau miliki untuk menyebut perkara seumpama itu. Menghina anak muda dengan merendahkan tahap pendidikan yang memilih PERIKATAN NASIONAL, hakikatnya adalah suatu falasi berfikir.
Anak-anak muda negara bukanlah generasi bodoh yang tidak mampu menilai mana satu parti penipu, kleptokrat dan parti yang bersih, stabil.
Malang sungguh anak muda negara mempunyai menteri berminda provokatif, dan kita tuntut permohonan maaf.
Salam hormat.
MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.