• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Menteri Singapura minat kenali PAS lebih dekat

Jul 15, 2023
Spread the love

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Massagos Zulkifli bersama delegasi mengadakan kunjungan ramah mesra kepada pimpinan PAS yang diketuai oleh Timbalan Presiden, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man di sini petang tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, pertemuan itu tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan memandangkan hubungan mesra secara peribadi telah terjalin ketika kedua-duanya menjawat jawatan Menteri Alam Sekitar tempoh lalu.

Beliau menerangkan kepada Massagos Zulkifli yang juga bertanggungjawab memegang portfolio hal ehwal agama Singapura kerana turut berminat untuk mengenali lebih dekat parti PAS.

“Pertemuan ramah mesra ini untuk mengenali lebih dekat tentang PAS. Kita telah jelaskan PAS merupakan satu parti politik berdaftar dalam sistem demokrasi.

“Kita masuk dalam pilihan raya dan kita jelaskan beberapa elemen yang cuba ditakut-takutkan khusus masyarakat non-Muslim terhadap PAS dengan digambarkan ‘gelombang hijau’ selepas pilihan raya baru-baru ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Jelas beliau, keharmonian dan kebebasan agama oleh masyarakat bukan Islam di negeri-negeri yang ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah telah sekian lama diterapkan.

Sementara itu, Massagos yakin bahawa PAS mampu menjadi parti yang lebih terkehadapan dan besar pengaruhnya dalam konteks Malaysia.

Beliau turut menjemput pemimpin PAS untuk hadir ke Singapura bertemu dengan masyarakat dan parti-parti politik di sana untuk saling bertukar-tukar pandangan demi kebaikan bersama.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS, Ir. Ts Khairil Nizam Khiruddin, dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari yang mewakili PAS. Manakala delegasi Singapura ialah Duta Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, Timbalan Setiausaha Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Esa Masood dan Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura, Khairul Anwar Mohamed. – HARAKAHDAILY