• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Menu Rahmah hanya populis, rakyat mahu KWSP, gaji naik

Feb 17, 2023
Spread the love

JOHOR BAHRU – Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan konsep Menu Rahmah hanyalah pendekatan retorik bagi mengalih isu rakyat yang inginkan kenaikan gaji dan juga pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, sebenarnya konsep itu sudah dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan nama 1Malaysia, tetapi telah diketepikan selepas PRU14.

“Ya, ada kebaikannya, tetapi impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh. Seharusnya, kini bukan masa mengkaji, mengkaji dan mengkaji, tetapi adalah perlaksanaan.

“Semenjak tahun 2000 sampailah kini, setiap kali nak PRU sahaja, perkara ini dijanjikan, tetapi selepas menang hanya jawapan yang dberikan kami akan menubuhkan ‘taskforce’ untuk mengkaji kenaikan gaji. Tiba lagi PRU, pasukan pengkaji entah ke mana, dijanjikan lagi kenaikan gaji.

“Rakyat kini sudah mampu menilai dan takkan diperbodohkan lagi dengan janji-janji manifesto yang langsung tidak berfungsi setelah menang PRU. Saya berharap agar kerajaan perpaduan kini sekurang-kurangnya dalam masa satu tahun ini, bagilah berita gembira berkenaan kenaikan gaji di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyeru supaya kerajaan dapat membenarkan pengeluarkan kali terakhir KWSP sekurang kurang 10% hingga 15% daripada baki simpanan setiap penyimpan.

“Kita semua tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan. Bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan.

“Bagilah sedikit nafas untuk rakyat untuk kesekian kali ini,” katanya. – JG