Semasa saya berada di dalam saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat ketika Era Reformasi, seorang rakan saya yang kini sudahpun menyertai PAN pernah berkata: “Anwar ni semua dia sapu, dengan al-Qaradhawi pun dia baik, dengan Kissinger pun dia baik”.
Demikianlah sikap skeptik rakan saya tersebut terhadap Anwar, ketika PAS kembali bersahabat dengan Anwar yang telah dipecat daripada UMNO pada tahun 1998. Rakan saya tersebut kini masih berada dalam PAN meskipun sudah tidak lagi menjadi ahli parlimen. Nasib baik sekarang beliau bukan lagi ahli parlimen PH, kerana jiwa beliau begitu tebal kebenciannya terhadap UMNO.
Sosok Anwar Ibrahim sememangnya sangat rencam (complicated) dan sukar untuk difahami. Hidup Anwar penuh dengan warna-warni, seumpama seekor mengkarung yang menyesuaikan diri dengan warna persekitarannya.
Beliau boleh memberi kuliah agama selepas waktu Maghrib dan sekonyong-konyong menari ala Bollywood selepas waktu Isyak. Oleh sebab itu, bagi golongan Islamis, Anwar dilihat sebahagian dari mereka.
Bagi golongan Liberalis, Anwar pun dianggap sebahagian dari mereka. Ringkasnya, Anwar itu adalah sepertimana yang kamu fikirkan, jika kamu fikir dia Islamis, dia boleh jadi Islamis. Jika kamu fikir dia Liberalis, dia boleh jadi Liberalis.
Boleh jadi warna-warni Anwar yang seperti itu, menyebabkan dia diterima oleh segenap pihak. Ramai pimpinan gerakan Islam dari negara lain yang mengkagumi Anwar sehingga ada yang menganggapnya mujahid.
Pada masa yang sama ramai juga pimpinan-pimpinan Barat yang dilihat anti gerakan Islam bersahabat dengan Anwar, sehingga diberi kedudukan di dalam organisasi mereka.
Karakter Anwar yang complicated seperti ini dan pendiriannya yang berwarna-warni, boleh menyebabkan banyak pihak tertanya-tanya apa dasar yang bakal dia perkenalkan. Anwar sekarang adalah Perdana Menteri, justeru karakter dan pendiriannya bakal pengaruhi dasar.
Sebagai contoh dasar luar Malaysia di zaman Anwar sebagai Perdana Menteri, ke manakah halatujunya?
Adakah Malaysia akan menjalin hubungan rasmi dengan Hamas Palestine, meskipun Hamas dianggap oleh Amerika sebagai salah satu kumpulan terroris di peringkat global.
Beranikah Anwar bersikap seperti Dr Mahathir Mohamad, yang dari segi dasar luarnya yang dilihat anti-Barat, malah beliau dicop sebagai anti-semitisme?
Memang terlalu awal untuk menilai Anwar kerana belumpun seminggu dia masuk ke pejabat Perdana Menteri, bagaimanapun melihat kepada karakter dan pendiriannya sebelum ini, beliau tidak mungkin seperti Dr Mahathir.
Bermuka-muka bukanlah karakter dan pendirian yang baik bagi seseorang Perdana Menteri. Demikian juga dengan sikap ‘play safe’, akan menjadikan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Anwar bakal ditertawakan orang.
Di satu sudut, Anwar bercakap tentang pendirian memartabatkan Bahasa Melayu, sedangkan di satu sudut yang lain, Anwar berjanji mengiktiraf UEC yang secara tidak langsung memperlekehkan kedudukan Bahasa Melayu.
Kita tunggu dasar-dasar yang bakal diperkenalkan oleh Anwar. Adakah dia akan memperkenalkan dasar-dasar yang tuntas dan tegas, atau dasar-dasar seumpama mengkarung yang berwarna-warni?
Dr. Mohd Zuhdi Marsuki
AJK PAS Pusat