• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MIC larang BN tuntut jawatan dalam kabinet Anwar

Nov 27, 2022
Spread the love

BARISAN Nasional (BN) tak boleh tuntut jawatan tapi boleh terima kalau diberi, kata Tan Sri SA Vigneswaran. 

Presiden MIC itu berkata, BN yang bersetuju menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan tidak boleh menuntut sebarang jawatan dalam kabinet yang bakal ditubuhkan. 

Katanya, ini selaras pendirian ‘No DAP, No Anwar’ yang masih kekal sebagai pendirian BN.

“Keputusan PAU (Perhimpunan Agung Umno) ‘No DAP, No Anwar dan No Bersatu’ masih terpakai. Keputusan Umno itu turut dipersetujui dalam mesyuarat pucuk pimpinan BN.

“Sebab itu sebelum ini BN mengambil pendirian berkecuali dan tidak menyertai kerajaan. Tapi BN mengubah pendirian untuk menyokong Anwar di bawah kerajaan perpaduan setelah akur nasihat Yang di-Pertuan Agong dan bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dengan PH.

“Jadi, saya berpendapat bahawa BN tidak boleh tuntut sebarang jawatan dalam kabinet yang bakal ditubuhkan,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.

Namun Vigneswaran menjelaskan, Anwar perlu diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih ahli jemaah menteri termasuk dari kalangan pemimpin BN.

“Jika Anwar memilih pemimpin dari BN untuk kabinet, itu kita boleh terima. Itu yang saya cuba maksudkan dalam kenyataan saya sebelum ini,” katanya.

Kelmarin, Anwar diperkenan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas baginda memperhalusi pandangan raja-raja Melayu yang menghadiri perbincangan khas di Istana Negara.

Keputusan PRU ke-15 pada 19 Nov lalu menyaksikan PH unggul memenangi 82 kerusi di Parlimen namun gagal membentukkan kerajaan kerana tidak melepasi 112  majoriti mudah. 

Susulan itu, kerajaan perpaduan telah dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Di bawah pengaturan itu, Anwar akan mengetuai kerajaan perpaduan dengan BN sebagai rakan utama PH, yang disokong BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta Parti Warisan Sabah. –