Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya membalas balik jasa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membantu mereka dapat menjadi kerajaan pusat, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu menggesa pemimpin PH supaya menjaga hubungan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika mahu kekal lama menjadi kerajaan, ia susulan kenyataan pemimpin PKR yang dilihat kurang senang dengan kumpulan Kluster Mahkamah parti itu.
“Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, memberi peringatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya tidak melantik Ahli Parlimen yang sedang berdepan kes mahkamah dalam Kabinetnya.
“Saya ingin mengingatkan mereka bahawa undang-undang Malaysia yang diwarisi dari United Kingdom (UK) yang mana seseorang itu tidak bersalah sehingga disabitkan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nur Jazlan ternyata kurang senang dengan kenyataan dua pemimpin PKR tersebut yang cuba mempersoalkan pemimpin UMNO berdepan pendakwaan di mahkamah hendak diberikan jawatan dalam kerajaan selepas ini.
Jelasnya lagi, kerajaan yang dibentuk sekarang tiada sokongan majoriti selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan dibentuk atas cadangan Yang di-Pertuan Agong dan seharusnya PH menyedari kepentingan untuk mewujudkan suasana harmoni dikalangan parti yang membentuk kerajaan ketika ini.
“Tiada mana-mana parti atau gabungan memperoleh majoriti untuk menerajui kerajaan. Namun, Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berbesar hati mengubah pendiriannya atas nasihat Yang di-Pertuan Agong dan menyatukan Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Tiada pra-syarat ditetapkan mana-mana gabungan termasuk Anwar, mengenai siapa yang berhak berkhidmat dalam Kabinet atau sebaliknya,” katanya lagi.
Malah, Nur Jazlan mempertahankan Zahid kerana meletakkan negara sebagai keutamaan bagi memastikan Malaysia memiliki kerajaan yang stabil.
“Zahid tidak menyalahkan Anwar, mahupun PH di atas tuduhan liar dan tohmahan terhadap BN sepanjang tempoh berkempen PRU-15.
“Jadi, PH patut membalas kesungguhan Zahid dengan menunjukkan niat ikhlas untuk menjadikan kerajaan ini stabil dan bebas daripada politik serta kritikan yang tidak perlu,” katanya.AD