• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MKT UMNO kata AMANAH parti ‘kawan makan kawan’

Apr 30, 2023
Spread the love

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui sukar untuk bersabahat dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) memandangkan parti itu bersikap ‘kawan makan kawan’.

Komen itu merujuk tindakan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, yang merayu supaya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menolak pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Susulan tindakan itu, Mohd Puad berkata, AMANAH hanya layak menjadi kawan dalam politik dan bukannya sahabat dalam perjuangan.

“Memang susah bersahabat dengan AMANAH. Hanya boleh jadi kawan. Kawan yang tidak beri jaminan Kerajaan Perpaduan boleh kekal. Kawan makan kawan,” katanya melalui Facebook, hari ini.

Khalid melalui kenyataan dikeluarkan sehari sebelum Lembaga Pengampunan bersidang dilapor berkata, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Lembaga Pengampunan yang bersidang baru-baru ini tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan difailkan Najib untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.

Ketika persidangan itu, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit

Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendakwa AMANAH sebagai tidak tertib dan seolah-oleh menghina budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam proses pengampunan diraja membabitkan Najib.

Beliau berkata, UMNO sendiri pun tidak pernah bising apabila Lembaga Pengampunan tidak membincangkan mengenai kes pengampunan Najib ketika bersidang dua hari lalu.

“UMNO memohon secara tertib. Masalahnya (pada) AMANAH kerana mendesak Agong menolak pengampunan Najib. UMNO hanya menyokong (permohonan pengampunan ke atas Najib) saja.

“Maka AMANAH yang tidak tertib. AMANAH yang hina budi bicara Agong. AMANAH secara jelas mempersoal kebijaksanaan Agong kerana membuat desakan itu,” katanya.

Mohd Puad berkata, kenyataan Khalid yang mendesak Yang di-Pertuan Agong menolak pengampunan Najib dianggap sebagai pendirian rasmi parti itu, apatah lagi ia tidak disusuli sebarang penafian oleh Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Apatah lagi (Datuk Seri) Salahuddin Ayub (melalui kenyataan selepas Lembaga Pengampunan bersidang) mahu penyokong Najib terbuka dengan keputusan Lembaga Pengampunan. UMNO tidak ada masalah pun. UMNO akur proses perundangan,” katanya.

Semalam, UMNO Kelantan memberi kata dua kepada Khalid sama ada memohon maaf susulan kenyataannya berhubung isu pengampunan Najib atau berdepan penarikan balik kerjasama antara parti di negeri itu.