• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Mohon maaf bukan penyelesaian, BERSATU gesa Najwan disiasat

Jul 16, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 16 JULAI 2023 – Bersatu mahu bekas ADUN Kota Anggerik Najwan Halimi dari PKR tetap disiasat dalam kes membabitkan kaum, agama dan diraja (3R).

Setiausaha Kerja Bersatu Titiwangsa Thaqib Shaker berkata Najwan wajar disiasat atas kenyataan rasis terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calonnya di DUN Meru Sivaranjani Manickam, Jumaat lalu.

Menurutnya, Najwan yang memohon maaf pada hari sama tidak harus terlepas daripada tindakan, sama seperti kes Sanusi yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“(Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengatakan pada kes sanusi, mohon maaf tak selesaikan tindakan undang-undang dan polis bebas siasat Sanusi.

“Jadi saya nak cakap mohon maaf tak selesai kesalahan, mohon polis bebas siasat Najwan,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Najwan di IPD Shah Alam.

Sementara itu, Thaqib dalam laporan polis terhadap Najwan berkata apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak boleh dijadikan bahan gurauan sama sekali.

“Kenyataan itu boleh menyebabkan tercetusnya perbalahan antara kaum sekaligus menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Menurutnya lagi, laporan itu dibuat sebagai solidariti terhadap PSM serta menunjukkan kebencian mereka pada perkauman.

Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Sdr. Low Lee Leong jugak turut hadir menemani Setiausaha Kerja Bersatu Titiwangsa Thaqib Shaker ke IPD Shah Alam.

Sebelum ini pemimpin PKR itu menulis ‘parti India estet’ sebagai reaksi balas terhadap laporan berita pengumuman PSM yang mencalonkan aktivis sosial, M Sivaranjani untuk DUN Meru.

Kenyataan tular berpunca daripada tangkap layar komen kumpulan WhatsApp PKR dibuat Mohd Najwan, tersebar di media sosial baru-baru ini.