• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MOM, NSA kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Sukan

Dec 13, 2022
Spread the love

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim supaya menjustifikasikan dakwaan beliau bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.

“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Norza berkata, beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.

“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama menyebut adalah lebih baik jika Adam Adli mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum membuat kesimpulan. SH