• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MP PH cadang sup tulang babi makanan kebangsaan bikin kecoh di Dewan Rakyat

Jun 7, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Isu membabitkan bak kut teh menjadi tumpuan pada sesi Dewan Rakyat hari ini, apabila Ahli Parlimen Langkawi mempersoalkan kewajarannya diangkat sebagai makanan kebangsaan.

Bak kut teh adalah hidangan sup tradisi tulang rusuk babi yang dimasak dalam herba tradisi yang popular di kalangan masyarakat Cina.

Terdahulu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) memaklumkan bahawa dalam 10 makanan tradisional paling popular di Malaysia tiada bak kut teh.

Malah, katanya, 30 makanan tradisional pelbagai kaum di negara ini juga tidak mempunyai makanan jenis itu.

“Adakah menteri setuju masukkan makanan ini dalam permohonan seperti yang diminta Tebrau?” soalnya.

Terdahulu dalam soalannya, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) meminta kerajaan menyatakan usaha untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabatnya sebagai makanan kebangsaan dan tidak dituntut sebagai makanan kebangsaan negara lain.

Timbalan Menteri Pelancongan, Khairul Firdaus Akbar Khan, bagaimanapun bersetuju bahawa untuk memasukkan setiap jenis makanan sebagai kategori makanan warisan, ia memerlukan satu prospek makanan yang boleh dimakan oleh kesemua rakyat.

“Saya sedikit sebanyak bersetuju dengan pandangan Langkawi. Kalau bak kut teh itu menyediakan bak kut teh ayam, bolehlah Yang Berhormat Langkawi.

“Tapi kalau bak kut teh yang dibangkitkan oleh Tebrau, dia tak beri secara spesifik jenis apa dan saya pun tak boleh jawab secara spesifik.

“Pokoknya di sini untuk kita memasukkan makanan warisan ini, ianya harus boleh dimakan dan dirasai oleh kesemua kaum di negara kita ini,” katanya.

Terdahulu, Khairul Firdaus berkata, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara mengambil inisiatif mewartakan makanan warisan di Malaysia mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Katanya, pewartaan itu bertujuan bagi melindungi serta memelihara makanan warisan supaya tidak pupus.

“Sehingga 2023 sebanyak 213 makanan warisan daripada pelbagai negeri dan berbilang kaum sudah diiktiraf sebagai warisan kebangsaan.

“Pada Mac 2023, kementerian menghantar pencalonan budaya sarapan Malaysia ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mendapat pengiktirafan dengan mengetengahkan tentang budaya makanan sarapan melalui pengambilan makanan warisan seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik,” katanya.

Katanya, sekiranya pencalonan itu berjaya, ia akan meningkatkan kebolehlihatan Malaysia di peringkat dunia dengan menjadikan negara sebagai tarikan destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian warisan.

“Faktor geografi negara yang berhampiran, tidak mustahil terdapat makanan warisan yang mungkin mempunyai persamaan dengan Malaysia. Justeru itu, mekanisme pencalonan secara bersama membabitkan negara anggota lain boleh dilaksanakan.

“Penyenaraian secara bersama dengan negara lain akan memperkukuh dan merapatkan hubungan dua hala antara negara melalui perkongsian budaya yang sama,” katanya.

  • BH