• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

MP PKR pun pertikai Anwar lantik Nurul Izzah jadi penasihat

Jan 30, 2023
Spread the love

‘Salah dari segi moral’, kata Hassan Karim pertikai pelantikan Nurul Izzah

SEORANG ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dari PKR iaitu Hassan Abdul Karim mempertikaikan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan.

Dalam hantaran di Facebook, Hassan Abdul Karim yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang menyatakan pelantikan Nurul Izzah itu sebagai salah dari segi moral.

Kata beliau, keputusan itu adalah betul dari segi undang-undang.

“Seorang sahabat yang merupakan penyokong PH bertanya kepada saya: “Apakah pandangan saya apabila Anwar melantik anaknya Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri?”

“Maka, jawapan saya ringkas sahaja dalam bahasa asing iaitu ‘legally right but morally wrong‘ (Betul dari segi undang-undang tetapi salah dari segi moral),” katanya dalam hantaran tersebut.

Semalam, media melaporkan Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Pelantikan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Nurul Izzah berharap pengalamannya sebagai Ahli Parlimen yang mana beliau mengendalikan isu kemiskinan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membantunya untuk bertugas dengan baik.

Anwar pula dilaporkan berkata pelantikan Nurul Izzah dibuat berdasarkan kelayakannya.

Ini kerana, Anwar menegaskan, anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, beliau berkata Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun atas pelantikannya itu.

  • Utusan