• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Muafakat Nasional dah tiada kata Pengerusi UMNO Perak

Spread the love

TANGKAK, 28 FEB 2022 – Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menganggap Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan oleh UMNO dan Pas kini sudah tiada.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, perkara itu tidak perlu diselindung lagi.

“Dapat pahala niat. Niat untuk bergabung, niat untuk bersatu,” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama lima media pada Ahad.

“Saya kena ingatkan sekali lagi kepada semua orang. Tajuk penyatuan ini kena diingat. Penyatuan bermakna saling sokong menyokong, saling kukuh mengukuh dan saling memperkuatkan antara satu sama lain. Itu penyatuan.

“Tapi kalau penyatuan, nak ambil kerusi orang itu, nak ambil kerusi orang ini, apa benda? Kita saling melemahkan antara satu sama lain. Kita saling menindas antara satu sama lain.

“Penyatuan itu maksudnya mesti ada toleransi, saling percaya mempercayai, mesti ada niat untuk saling kukuh mengukuhkan, baru penyatuan,” katanya lagi.

Dengan memberi contoh semasa PRN Melaka sebelum ini, beliau berkata UMNO telah menawarkan kepada Pas sebanyak lima kerusi yang boleh dimenangi oleh parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.

“Dengan sokongan UMNO di Melaka, Pas boleh menang lima kerusi. Sebab Pas bukan kuat di Melaka. Tidak kuat. Tidak boleh menang pun tapi oleh kerana dia tak nak, tidak cukup lima, nak lebih, dah tinggal berapa kerusi UMNO ini?

Saarani juga diminta mengulas mengenai sama ada usul mengenai MN sudah tiada akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung pada pertengahan bulan Mac ini atau sebaliknya.

Beliau bagaimanapun memberitahu perkara tersebut bergantung kepada MKT kerana pihak terlibat yang akan memutuskan usul terlebih dahulu.

“Oleh kerana MN itu ditubuhkan berasaskan kepada keputusan MKT UMNO, disahkan oleh PAU, maka kalau nak bubar pun saya yakin ia kena saluran yang sama,” jelasnya.