Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Menara Dato’ Onn di sini, malam tadi.
Setiausaha Agungnya, Amir Abd Hadi berkata, mereka tidak menerima sebarang jemputan, sama ada melalui surat, mesej atau emel berkaitan mesyuarat tersebut.
“Saya Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya.
“Tidak ada surat, mesej, emel yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
“Khabarnya semalam berlangsung mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Nampak ada logo MUDA. Tapi tak tahu apa-apa. Tak ada jemputan. Tak ada makluman.
“Tahu-tahu dah ada keputusan. Mungkin sekurang-kurangnya, boleh bagi taklimat hasil mesyuarat?” katanya.