BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2 juta selepas mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.
Hakim Azura Alwi menetapkan demikian selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang berdekatan.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Mei ini.
Terdahulu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin.
Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan haram selepas Datuk Seri Najib Razak.
Prosiding kes diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumarendran, Rosli Dahlan, Datuk Takiyuddin Hassan, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon dan Varsha Chelvi.