• Tue. Nov 12th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Muhyiddin gariskan 5 cabaran permasalahan rakyat

Jul 15, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 15 JULAI 2023 –  Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan lima cabaran utama yang perlu diberi tumpuan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, cabaran pertama adalah usaha menyelesaikan ketidaktentuan ekonomi yang ketara disebabkan oleh pelbagai faktor.

Katanya, pandemik COVID-19 mengakibatkan gangguan kepada perniagaan, kehilangan pekerjaan dan mengurangkan pendapatan merentas sektor yang berbeza.

“Ramai dalam kalangan rakyat termasuk golongan profesional muda masih bergelut untuk mencari pekerjaan yang stabil manakala yang berniaga, menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perniagaan mereka.

“Landskap ekonomi yang tidak menentu jelas menjadi cabaran dalam merancang strategi yang mampan untuk menstabilkan ekonomi dan kewangan negara,” katanya berucap pada majlis Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 Create Better Malaysia, di sini hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, cabaran kedua adalah transformasi digital yang mana kerajaan perlu meneruskan inisiatif itu bagi memastikan matlamat lebih ramai rakyat celik digital dapat dicapai.

Sehubungan itu katanya, inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) perlu diteruskan bukan sekadar merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, malah untuk memperkukuh ekosistem digital dalam negara.

“Kerajaan pada ketika itu turut menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) bertujuan mempercepatkan roll out 5G ke seluruh negara, selain menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga berpatutan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.

Cabaran ketiga katanya, berkaiatan keseimbangan kerja-kehidupan dan kesihatan mental.

“Rakyat turut menghadapi tekanan untuk mengimbangi kehidupan dan pekerjaan, pada masa sama memastikan mental mereka kekal sihat,” katanya.

Beliau berkata, cabaran keempat membabitkan peluang pekerjaan terhad yang mana statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran menurun 0.4 peratus pada Mei 2023 kepada 584,600 orang.

“Namun, realitinya lebih setengah juta masih menganggur. Selain itu, ramai turut menghadapi cabaran kadar upah yang rendah,” katanya.

Muhyiddin berkata, cabaran seterusnya adalah kos sara hidup yang mana rakyat kini menghadapi kekangan dan cabaran kewangan akibat kenaikan harga barang dan kadar upah yang rendah.

“Kos sara hidup, termasuk perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, menyukarkan rakyat untuk menjimatkan wang, mahupun melabur dalam kerjaya atau merancang masa depan mereka.

“Peningkatan kes rumah dilelong juga menggambarkan ramai peminjam tidak mampu meneruskan ansuran bulanan mereka akibat kenaikan OPR (Kadar Dasar Semalaman).

“Selain itu, hutang pinjaman pendidikan dan keperluan untuk menyara keluarga mereka dari segi kewangan boleh membebankan lagi keadaan kewangan rakyat,” katanya.

Justeru, katanya golongan profesional perlu mengambil peranan proaktif untuk membantu rakyat mendepani lima cabaran itu.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, golongan profesional perlu membantu kerajaan dalam soal pokok rakyat.

“Profesional perlu memikirkan bagaimana kita hendak menyelesaikan permasalahan rakyat dengan sebaik mungkin.

“Dengan adanya kepakaran dan sokongan para profesional, maka usaha sama semua pihak dapat digembleng untuk mencapai keseimbangan ke arah membina Malaysia yang makmur dan sejahtera,” katanya.