Roslan SMS
Kes Covid 19 di negeri Selangor sering mencatatkan yang tertinggi diantara negeri-negeri lain. Pada Rabu 23 Febuari kes baru seluruh negara yang dilaporkan adalah sebanyak 31,119 dan Selangor sahaja mencatatkan 7,798. Keesokkan harinya Selangor mencatatkan 7,458 kes baru diikuti dengan7,290 hari berikutnya.
Walaupun rakyat negeri ini berusaha mengamalkan SOP yang dikenakan oleh pihak KKM namun wabak ini terus meningkat.
Dalam pada itu kerajaan negeri PH Selangor pula dilihat seakan membatu tidak banyak membantu berusaha mengurangkan kadar jangkitan dikalangan rakyat negeri ini. Apa usaha dan pencapaian EXCO Kesihatan Selangor umpamanya, rakyat pun tidak tahu menahu.
Adalah diyakini lantaran bimbang akan perkembangan ini dan prihatin akan kebajikan rakyatnya, Tuanku Sultan Selangor telah terpanggil untuk mengambil langkah lebih drastik yang diharapkan dapat membantu menurun kadar kes Covid 19 dalam negeri Tuanku.
Lalu Jumaat baru-baru ini pihak Jabatan Agama Islam Selangor dititahkan agar mengenakan syarat baru selain SOP yang sedia ada, bahawa jemaah yang mahu mengerjakan solat Jumaat di Selangor, disyaratkan telah mengambil dua dos vaksin selain dos penggalak (booster) barulah dibenarkan masuk.
Menurut laporan Tuanku Sultan telah mendapat nasihat dari Jabatan Kesihatan dan berpandangan bahawa langkah seumpama ini perlu diambil demi mengelakkan situasi buruk yang boleh menjejaskan aktiviti di masjid dan surau seluruh Selangor.
Ramai yang tidak termaklum akan syarat baru ini yang dikeluarkan oleh JAIS sejak Isnin 21 Febuari lalu, kecewa apabila dilarang menunaikan solat Jumaat 25 Febuari lalu.
Namun demikian berdasarkan realiti semasa khasnya di negeri Selangor, kita sewajarnya mengalu-alukan langkah ini yang datangnya dari Tuanku Sultan sendiri, kerana ianya akan mendorong rakyat negeri ini sekurang-kurangnya untuk memastikan mereka mengambil dos penggalak, yang diberikan secara percuma oleh kerajaan jika mereka mahu menunaikan solat Jumaat minggu hadapan.
Dos penggalak ini merupakan langkah terbaik setakat ini untuk mengawal dan mengurangkan kes Covid 19, lalu jika ia bermanfaat dan mengelakkan mudarat yang besar, mengapa perlu kita berlengah?
Yang sepatutunya ditegur dan dipersalahkan adalah kerajaan negeri PH Selangor. Arahan JAIS ini terbit pada hari Isnin, apakah usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat ini ke rakyat jelata sebelum Jumaat?
Sepatutnya seluruh jentera negeri dikerahkan untuk memaklumkan rakyat khasnya umat Islam di Selangor akan syarat baru ini. Mengapa tidak dikeluarkan kenyataan besar-besaran di media agar rakyat maklum terlebih awal dan boleh mengambil langkah persediaan?
Mengapa MB, EXCO kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung, Pengerusi JK Penduduk tidak dikerahkan untuk membawa turun arahan ini ke pengetahuan rakyat jelata?
Sudahlah Selangor kekal sebagai negeri tertinggi dalam kes ini, kerajaan negeri pula lebih berpeluk tubuh dan menyerahkan segala-galanya pada kerajaan Persekutuan.
Mujurlah Selangor punya Sultan yang berjiwa rakyat, yang sentiasa mengambil tahu nasib dan kebajikan rakyat Banginda dan sentiasa berusaha membelanya.
Semoga rakyat Selangor segera memastikan mereka telah lengkap mengambil kedua-dua dos vaksin berserta mengambil dos penggalak.
Ini bukan hanya untuk mereka boleh mengerjakan solat Jumaat minggu hadapan, tetapi mudah-mudahan dengan usaha dan keprihatinan kita kadar kes baru Covid 19 di negeri ini dapat diturunkan dan kita dapat melindungi diri dan keluarga serta mudah-mudahan segera kembali hidup normal seperti sebelumnya.
Junjung kasih pada Tuanku Sultan. Daulat Tuanku.